fbpx

406 produk makanan dirampas luput tarikh, rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai JKNS memeriksa produk makanan di premis jualan di sekitar Selangor.

SHAH ALAM – Segelintir pengusaha pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di Selangor dikesan masih sanggup menjual produk makanan tamat tarikh luput serta bungkusan rosak kepada pelanggan di premis mereka.

Perkara itu dihidu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang menyita lebih 406 produk menerusi Operasi Keselamatan Makanan pada semalam dan kelmarin.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 36 premis yang melibatkan 6,127 produk makanan dan 944 hamper makanan.

Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati 4.3 peratus atau 262 produk telah tamat tarikh luput dan 144 bungkusan pula rosak seperti tin kemek, kembung dan bekas rosak.

“Kesemua produk bernilai RM11,378 itu diarah supaya dialihkan daripada rak pameran jualan untuk disita.

“Sitaan itu dijalankan mengikut Seksyen 4 (1)(f) dan persetujuan pelupusan di bawah Seksyen 4 (8) Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Sha’ari, sebanyak 12 Notis kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut dikeluarkan pihaknya dalam operasi khas itu.

“Kesalahan berkenaan melibatkan tawaran kompaun berjumlah RM35,500.

“Jika gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh diberikan, tindakan pendakwaan akan diambil yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi itu bertujuan memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat dan berkualiti selaras keperluan di bawah Akta Makanan 1983.

“Pengguna dinasihatkan sentiasa membaca label produk makanan dan memeriksa keadaan bungkusannya bagi memperoleh makanan selamat serta berkualiti.

“Sebarang aduan berkaitan produk atau premis penjualan makanan boleh disalurkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI