fbpx

Joe, Mus sedia gegarkan Barbarik – Pentas Keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN Mus, konsert Barbarik - Pentas Keras turut mengundang Mael XPDC dan Asheed Def Gab C beraksi memanaskan Zepp KL.

SERING tampil di pentas-pentas gah sejak beberapa tahun lalu membuatkan dua ikon rock tempatan, Joe dan Mus teruja untuk sekali lagi berpadu tenaga menerusi konsert Barbarik – Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur, malam esok.

Tempoh 22 tahun ‘terpisah’ selepas dipertemukan dalam Wings bagi merealisasikan album ke-11 kumpulan itu, Mr. Barbarik, dianggap sebagai peledak kecintaan terhadap ritma rock sebenar.

Konsert Barbarik – Pentas Keras bakal menjadi gelanggang buat bekas anggota Wings dan May ini beradu bakat luar biasa yang diraih menerusi berpuluh tahun pengalaman.

Bagi Joe nama sebenarnya Abd. Zamin Abd. Kadir, hasrat mengajak Mus turut serta dalam projek istimewa ini bukan sesuatu yang mudah untuk diajukan.

Namun katanya, bagai dapat membaca fikirannya, vokalis otai yang mempunyai peminat sendiri itu turut mahu merealisasikan impian emas ini, namun perlu berfikir panjang.

“Mus bukan calang-calang nama, malah selain pernah merakamkan empat album bersama Wings, kredibiliti ketika bersama May juga membuatkan kemunculannya dinantikan ramai.

“Sejujurnya konsert mega yang bakal menghimpunkan kaki rock umpama mengulangi nostalgia kegemilangan tersebut terutama selepas album Mr. Barbarik dipasarkan, dia ambil keputusan undur diri.

KEMBALI menyatu dalam sebuah projek istimewa dua bekas anggota Wings, Joe dan Mus bersama rakan-rakan sudah bersedia menjayakan konsert Barbarik – Pentas Keras, malam esok.

“Boleh dikatakan Barbarik – Pentas Keras sebagai reunion kami setelah dua dekad membawa haluan sendiri dan kali ini umpama misi menyelesaikan beberapa agenda tertangguh.

“Sekarang sudah ramai menyedari kewujudan album Mr. Barbarik hingga ramai yang selongkar balik kaset lama sebaik kita umumkan mengenai konsert ini selain semakin ‘feel’ menunggu malam esok,” katanya yang merancang projek ini sejak 2017 lagi.

Bakal membawakan 20 dendangan, Joe menyatakan Mus juga bakal membawakan lagu duet bersama penyanyi lain yang juga bekas vokalis Wings termasuk Mel.

Ungkap Joe lagi, ada kejutan yang bakal disajikan buat penggemar tegar rock bersifat agak keras, namun tetap diselitkan rangkaian seleksi lagu berentak balada popular.

Sementara itu, Mus atau nama penuhnya Mustaffa Din, 54, menganggap konsert ini pelepas rindu untuk beraksi bersama rakan lama yang disifatkan sangat profesional.

“Saya kerap tampil dalam persembahan mega, namun Barbarik – Pentas Keras adalah sesuatu yang sangat istimewa apatah lagi Joe inginkan kesempurnaan dalam setiap kerja.

“Apabila dia suarakan projek ini, saya awalnya agak bimbang kerana bukan mudah mahu ‘layan’ rangkaian lagu yang dirakam 20 tahun lalu.

“Dahulu lain, ketika itu saya masih muda, bertenaga dan stamina juga berada pada tahap tertinggi tetapi apabila difikirkan semula, saya terus rebut tawaran ini.

“Paling utama saya tak berkompromi dengan persediaan rapi apabila membabitkan penampilan sebesar ini.

“Faktor kecergasan dan keadaan fizikal menjadi keutamaan,” luahnya lagi.

Selain Mus, konsert nanti bakal diserikan kehadiran Mael XPDC, Asheed Def Gab C dan Mel yang pastinya dapat memenuhi permintaan ramai.

Terdahulu, empat album Wings yang membabitkan Mus adalah Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul, Double Trouble 2 (bersama Search), Mr. Barbarik dan sebuah album raya berjudul Puisi Aidilfitri

Konsert Barbarik – Pentas Keras bukan sekadar konsert biasa. Segala aspek termasuk teknikal, penceritaan visual, penataan cahaya dan sistem bunyi yang akan diberikan perhatian bagi menghidupkan suasana.

Menghangatkan lagi momentum aksi apabila tiga pemuzik berkarisma iaitu Ainoll (drum), Rozaimie (gitar bass) dan Adi Yamin (keyboard/piano) menjadi tunjang pergerakan konsert.

Tiket-tiket berharga RM188, RM268 dan RM368 masih boleh didapati menerusi laman sesawang ticket2U.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI