fbpx

Tiga kakitangan hospital dipenjara, denda dagangkan jenazah Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Perbuatan tiga kakitangan Hospital Kajang terlibat dalam urusan ‘memperdagangkan’ jenazah Islam membawa padah apabila dipenjara sehari dan denda antara RM3,000 hingga RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas ketiga-tiga mereka iaitu Mohd. Nizam Noordin, 40; Sharum Hassim, 42 dan Muhd. Azhar Nahar, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dibacakan kepada mereka.

Sekiranya gagal bayar denda, ketiga-tiga mereka yang merupakan Pembantu Perawatan Kesihatan Gred U11 dan U14 itu diperintah menjalani tambahan penjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka semasa kejadian bertugas di Unit Forensik, Hospital Kajang telah secara rasuah memperoleh suapan antara RM300 hingga RM600 melalui akaun bank masing-masing daripada seorang seorang lelaki berusia 34 tahun.

Ini bagi memberikan kerja pengurusan jenazah-jenazah dari Unit Forensik Hospital Kajang kepada individu tersebut.

Mohd. Nizam dan Muhd. Azhar masing-masing melakukan perbuatan itu di dua buah cawangan bank berlainan di Kajang manakala Sharum di cawangan bank Sungai Petani, Kedah antara 21 Mei hingga 9 Disember 2020.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan ketiga-tiga mereka telah digantung tugas sejak April lalu sehingga kini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Bin Shahruzaman dan kesemua tertuduh diwakili Peguam Mohd. Fikah Sanusi.

Kosmo! pada 8 Oktober tahun lalu melaporkan lima kakitangan jabatan forensik sebuah hospital di Selangor yang ditahan berhubung kes rasuah pengurusan jenazah dipercayai mengaut untung kira-kira RM22,000 dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2019.

Petugas kesihatan itu menerima habuan RM300 hingga RM400 bagi setiap jenazah daripada ejen mengikut jenis-jenis kematian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI