fbpx

Taliban larang wanita belajar di universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar perempuan Afghanistan menjalani peperiksaan kemasukan di Universiti Kabul pada 13 Oktober lalu. - AFP

KABUL – Pemerintahan Taliban mengharamkan wanita di Afghanistan daripada melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, kata kementerian pendidikan tinggi dalam surat yang dikeluarkan kepada semua universiti kerajaan dan swasta seperti dilaporkan akhbar The Guardian.

“Anda semua diarah untuk melaksanakan perintah yang disebutkan iaitu menggantung pendidikan wanita sehingga diberitahu kelak,” demikian menurut surat yang ditandatangani Menteri Pengajian Tinggi, Neda Mohammad Nadeem.

Keputusan tersebut dibuat dalam satu mesyuarat kabinet dan arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

Jurucakap kementerian berkenaan, Ziaullah Hashimi yang memuat naik ciapan mengenai kandungan surat tersebut kemudian mengesahkan arahan berkenaan dalam mesej teks kepada agensi berita AFP.

“Pelajar perempuan kecewa dan saya tidak tahu bagaimana untuk menghiburkan hati mereka.

“Salah seorang daripada mereka berpindah ke Kabul dari wilayah terpencil dengan melalui begitu banyak kesusahan kerana dia berpeluang masuk ke universiti berprestij di sini.

“Semua harapan dan impiannya musnah hari ini,” kata seorang pensyarah, Meena, 52, yang menggunakan nama samaran.

Sementara itu, seorang aktivis kanak-kanak dalam buangan, Profesor Manizha Ramizy berkata, beliau telah menerima mesej panik daripada pelajar-pelajar perempuan.

“Mereka takut dan terkejut kerana mengenangkan masa depan yang tiada harapan,” katanya.

Larangan itu dibuat kurang tiga bulan selepas beribu-ribu wanita Afghanistan menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti di seluruh negara, dengan ramai bercita-cita memilih bidang kejuruteraan dan perubatan sebagai kerjaya masa depan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI