fbpx

Lapan stesen minyak Terengganu ditenggelami banjir ditutup sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah stesen minyak yang terjejas akibat banjir di Besut.

MARANG – Sekurang-kurangnya lapan stesen minyak di Terengganu ditenggelami air berikutan banjir besar yang berlaku di negeri ini sejak Ahad lalu.

Kesemua stesen minyak yang terletak di Kemaman (tiga), Hulu Terengganu (dua) dan masing-masing satu di Besut, Setiu serta Dungun terkesan terpaksa menutup operasi buat sementara waktu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, penutupan sementara stesen minyak itu terpaksa dibuat bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

“Kita bimbang risiko minyak bercampur dengan air atau kehadiran arus elektrik yang boleh menjejaskan kenderaan dan keselamatan pengguna.

“Saya telah menasihatkan semua stesen minyak terlibat supaya hanya beroperasi semula apabila banjir surut sepenuhnya,” katanya selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik Bukit Payong di sini hari ini.

Sehubungan itu, Saharuddin memberitahu, penilaian akan dilakukan bagi menempatkan trak perkhidmatan minyak bergerak (ROVR) bekalan petrol dan diesel di kawasan terjejas.

Jelas beliau, inisiatif memudahkan penduduk dan agensi penyelamat tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan bakar kenderaan di lokasi bencana akan diselaraskan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI