fbpx

Kerajaan Perpaduan mengatasi prinsip parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat.

Ada yang berpandangan ia langkah tepat memandangkan tiada satu pun gabungan parti yang menerima majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Tidak kurang juga ada yang kecewa dengan pembentukan kerajaan tersebut kerana bagi mereka, parti diundi sanggup menjalin kerjasama dengan ‘musuh’ yang selama ini ditentang.

Pendirian yang selama ini dipegang erat iaitu tidak akan ­bekerjasama dan menolak parti ‘musuh’ hilang sekelip mata, ­dengan alasan ia harus dilakukan bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

Bahkan, antara sebab lain bagi mewajarkan kerjasama antara parti-parti yang selama ini berseteru adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mereka ­membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir, rakyat perlu ­menerima hakikat bahawa lanskap politik negara sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kerjasama yang dijalin antara parti yang selama ini berseteru ataupun bercakaran seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu dilakukan bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk.

“Ini kerana tidak ada mana-mana gabungan mempunyai majoriti yang dapat membentuk kerajaan.

“Jadi (kerjasama dijalin) untuk mengelak daripada berlakunya Parlimen tergantung serta memastikan kerajaan terbentuk itu betul-betul stabil dan mantap,” katanya.

Menurutnya, kesemua parti yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan mempunyai prinsip masing-masing, namun mereka akur dengan titah Al-Sultan Abdullah agar bergabung untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

Justeru, katanya, keputusan parti-parti berkenaan untuk bergabung bagi memastikan kerajaan yang dibentuk adalah stabil bukanlah suatu yang tidak berprinsip dan bermoral.

“Itu (parti politik bergabung membentuk kerajaan) bukan luar biasa kerana mereka akhirnya meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan diri ataupun parti,” katanya.

Sebagaimana kenyataan ­Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Waj­di Dusuki kelmarin, majoriti dua pertiga yang diperoleh gabungan parti berkenaan adalah penting bagi memastikan negara mencapai kestabilan.

Menurut Asyraf, ia penting agar tiada lagi insiden pertukaran kerajaan sebagaimana yang berlaku beberapa kali berlaku sebelum ini.

“Majoriti dua pertiga ini juga mustahak bagi memastikan ­kestabilan yang diperolehi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

“Majoriti dua pertiga ini juga amat penting bagi memastikan kestabilan yang diperolehi mampu memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada pelabur untuk kembali memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama sekali gus merancakkan dan memulihkan kembali pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI