fbpx

Jakim buat solat hajat mohon perlindungan bencana banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Tiga masjid utama seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat bagi memohon perlindungan daripada bencana banjir khususnya melanda negeri-negeri di Pantai Timur ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, tiga masjid itu adalah Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Beliau berkata, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga akan bekerjasama untuk turut mengadakan solat hajat di masjid-masjid dan surau-surau di Wilayah Persekutuan.

“Saya mengikuti perkembangan berita kejadian banjir yang melanda negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Saya amat bersimpati dan berdukacita dengan keadaan mangsa banjir dan masyarakat yang sedang berhadapan dengan situasi.

“Semua pihak adalah dipohon mengambil langkah berwaspada serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, semua pihak juga adalah diseru untuk terus berdoa dan bermunajat memohon perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan negara daripada musibah banjir serta kemudahan dan kesegeraan penemuan mangsa.

Mohd Na’im berkata, beliau berharap seluruh mangsa banjir dan ahli keluarga sentiasa tabah dan sabar dengan ujian ini.

“Semoga urusan seluruh anggota keselamatan, jentera barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak dipermudahkan Allah SWT jua,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI