fbpx

Ambil tindakan segera ucapan, perbuatan bakar emosi rakyat – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama dan Kedua Tahun Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar tindakan tegas diambil dengan segera ke atas ucapan atau perbuatan mana-mana pihak yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama serta kaum.

Baginda bertitah, ia kerana negara ini memiliki elemen yang begitu mudah dieksploitasi untuk mencetuskan anarki.

Titah baginda, kerukunan perhubungan kaum yang telah diasaskan sejak era pra-merdeka dan terus dipupuk sepanjang era pascamerdeka tidak boleh diperjudikan kerana permainan politik yang berunsur meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat.

“Oleh itu, setiap individu berperanan untuk memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk.

“Warga di negara ini terutamanya generasi muda perlu diberikan bimbingan dan fahaman mengenai sistem berkerajaan dan bernegara yang berteraskan doktrin demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Serta pentingnya warga memahami dan menghayati lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara untuk dijadikan pedoman dalam usaha mahu memupuk warga yang bersatu padu, hidup penuh harmoni dalam sebuah negara merdeka yang berdaulat, aman lagi makmur,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Sultan Nazrin bertitah, tindakan segera Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasca pilihan raya dengan mengambil langkah-langkah preventif untuk menjamin ketenteraman awam merupakan tindakan yang tepat.

“Bumi ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang boleh membunuh pohon perpaduan.

“Langit di negeri ini jangan sama sekali dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid yang akan menghujani bumi dengan fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI