fbpx
Aktiviti berkhemah perlu dielakkan pada musim tengkujuh bagi mengelakkan menjadi mangsa banjir dan tanah runtuh.

100 tempahan perkhemahan batal, elak malapetaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hasrat orang ramai untuk berkelah dan berkhemah di kawasan sungai dan berbukit di kawasan Batang kali dan Kuala Kubu Bharu terpaksa ditangguhkan apabila tempahan mereka dibatalkan sejak kelmarin.

Pengusaha tapak perkelahan dan perkhemahan Air Luit, Pertak, Muhammad Jamil Asun berkata, hampir 100 tempahan terpaksa dibatalkan ekoran kejadian tanah runtuh di Jalan Batang kali-Genting Highlands pada Jumaat lalu.

Menurut Muhammad Jamil, tindakan itu dibuat susulan arahan daripada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengosongkan semua tapak perkhemahan selama tujuh hari.

“Terdapat pengunjung yang membatalkan tempahan kerana bimbang risiko yang mungkin dihadapi selepas kejadian (tanah runtuh) tersebut.

“Pada minggu ini, kita mene­rima hampir 100 tempahan terdiri daripada keluarga, rombongan sekolah dan pelancong.

“Namun, semua tempahan tersebut telah dibatalkan. Bagi mereka yang menjalani perkhemahan malam itu (malam kejadian tanah runtuh), kami minta mereka pulang pada keesokan harinya (Sabtu),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Muhammad Jamil membe­ritahu, pihaknya akur dengan penutupan sementara itu dan tapak berkenaan akan dibuka se­mula sekiranya tiada arahan lanjut daripada pihak berwajib.

“Kita faham dengan situasi ini, cuma ia dibuat pada saat-saat akhir. Bagi saya, bukan semua tempat berisiko dan setiap pe­ngusaha mempunyai penilaian di kawasan mereka,” ujarnya.

Beliau berpandangan kerajaan dan PBT perlu mencari jalan penyelesaian dan menyelaras prosedur operasi standard (SOP) demi kepentingan semua pihak.

“Kita memang sedia maklum semua hutan simpan ditutup menjelang musim tengkujuh, tetapi bukan tapak perkelahan dan perkhemahan.

“Jadi, dengan SOP yang lengkap, PBT dapat memantau dan menasihatkan pengusaha dalam aspek risiko seperti kepala air, keadaan cerun termasuk ke­selamatan pengunjung,” katanya.

Tambahnya, kehadiran orang awam di tapak perkelahan se­perti sungai dan bukit tanpa pe­ngusaha adalah lebih mudarat.

“Kita tidak boleh menghalang orang ramai untuk bercuti dan beriadah. Jika tempat itu tiada pengusaha sekali pun, mereka pasti akan datang juga dan pelbagai perkara buruk boleh berlaku,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN