fbpx

Mahkamah: Pendengaran rayuan hukuman rasuah Rosmah bermula Jun 2023 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 22 dan 23 Jun 2023 bagi pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Tarikh pendengaran dua hari itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz, ketika pengurusan kes itu di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn ketika dihubungi, berkata pada tarikh sama mahkamah akan turut mendengar rayuan Rosmah untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang menjatuhkan hukuman terhadap kes rasuah itu.

“Hujahan perlu difailkan pada atau sebelum 22 Mei 2023. Hujahan balas jika ada perlu difailkan pada atau sebelum 7 Jun 2023. Perayu (Rosmah) akan menulis surat rasmi memohon Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh bicara rayuan lanjut pada 12 hingga 14 Julai 2023.

“Permohonan tertakluk kepada persetujuan Mahkamah Rayuan. Tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 3 Februari 2023 menerusi aplikasi Zoom untuk pihak-pihak mendapatkan keputusan permohonan perayu,” katanya.

Rosmah memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu dengan mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa Hakim Mohamed Zaini merumuskan pembelaannya adalah penafian kosong (bare denial).

Menurut Rosmah, dalam kes tersebut pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadapnya mengenai wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas berstripe oren, sudah diserahkan atau sebaliknya.

Selain wang RM1.5 juta, Rosmah turut membangkitkan pendakwaan juga gagal membuktikan dia telah menerima dua beg bagasi berisi RM5 juta daripada saksi pendakwaan ke-21 di Seri Perdana.

Pada 1 September lalu, Rosmah, 71, dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah tersebut.

Hakim Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmah selepas mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 30 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 71, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI