fbpx

Selebriti nekad tinggalkan dunia glamor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARAH Hildebrand, Arja Lee dan Laudya Cynthia Bella antara selebriti yang memilih menamatkan karier masing-masing atas pelbagai sebab tertentu.

MENCEBURI dunia seni hiburan dan bergelar seorang bintang sering digambarkan dengan limpahan populariti, kehidupan indah serta mewah. Hidup yang penuh warna-warni dan disimbahi populariti selalunya menjadi idaman bagi mereka yang ingin mahupun sudah bergelar selebriti.

Sayangnya, tidak semua golongan artis akan mendapat apa yang mereka idamkan. Ada segelintirnya hanya mampu mengecap glamor dalam tempoh sementara saja sebelum lenyap ‘ditelan’ kemunculan lambakan artis baharu.

Bahkan tidak kurang juga terdapat selebriti yang mengambil keputusan drastik mengundurkan diri dari tumpuan lensa dunia hiburan dan enggan lagi terbabit dengan industri yang penuh dengan pancaroba itu.

Sebagai contoh, penyanyi Ashira Aziz baru-baru ini mengejutkan ramai apabila secara tiba-tiba mengucapkan selamat tinggal kepada industri seni. Dia sudah tidak mahu terlibat dalam dunia hiburan sebagai penyanyi untuk menjalani kehidupan biasa.

Meskipun menegaskan masih menjadikan nyanyian sebagai sumber rezeki, Ashira bagaimanapun enggan menjadi tumpuan ramai dan terbabit dalam kancah hiburan yang disifatkan sebagai ‘dunia tipu-tipu’.

Gala minggu ini menyenaraikan lima nama yang pernah bergelar selebriti, namun mengambil keputusan nekad meninggalkan dunia glamor atas sebab tertentu.

Diana Amir

Selepas mengambil keputusan mengenakan hijab pada 2011, pelakon Diana Amir memilih tampil dengan imej berniqab sejak 2019 untuk menjadi seorang Muslimah sejati.

Pada awal Disember lalu, selebriti berusia 36 tahun itu yang sebelum ini sudah lama tidak berlakon kemudian membuat keputusan mengumumkan pengunduran dirinya dalam bidang seni seni sebagai pelakon.

DIANA AMIR

Kata Diana, dia membuat keputusan tersebut sekali gus tidak lagi akan membuat penampilan dalam televisyen kerana mahu memberi fokus kepada dirinya sahaja. Bukan itu sahaja, pelakon filem 7 Petala Cinta itu juga memberitahu, tekadnya meninggalkan dunia hiburan kerana mahu mengikhlaskan diri mencari agama demi Allah SWT.

Laudya Cynthia Bella

BERITA pengunduran aktres Indonesia, Laudya Cynthia dari dunia hiburan sekitar Ogos lalu antara yang paling mengejutkan ramai. Dalam satu kenyataan, Laudya mendedahkan dia sudah lama memasang niat untuk meletakkan noktah karier seninya.

Dia juga sempat memohon peminat untuk terus mendoakan dirinya agar berjaya dalam kehidupan. Malahan, selebriti berusia 34 tahun itu juga tidak mahu lagi berlakon selepas tampil dengan filem terakhir berjudul Buya Hamka pada tahun lalu.

Difahamkan, sebab utama Laudya membuat keputusan tersebut kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya mengejar akhirat.

Sarah Hildebrand

Pada April lalu, pelakon kontroversi Sarah Hildebrand mengejutkan industri apabila secara tiba-tiba mengumumkan persaraannya dalam dunia seni hiburan sebagai pelakon.

Menerusi pengumuman yang dibuat dalam Instagram miliknya, Sarah atau nama lengkapnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand memberitahu, sudah tidak mahu terlibat lagi dalam industri selepas 10 tahun bergelar anak seni. Dia nekad mahu meninggalkan kerjaya glamor itu selaku pelakon.

Sarah yang pernah mencipta populariti menerusi drama Pujaan Hati Kanda kini telah berhijrah dan menetap di Amerika Syarikat (AS). Dia kini berkhidmat sebagai anggota tentera udara AS di negara ‘Uncle Sam’ itu.

Sana Khan

Aktres terkenal Bollywood, Sana Khan tekad meninggalkan dunia glamor sewaktu namanya berada di kemuncak populariti. Alasan pelakon berusia 34 tahun itu mengundurkan diri dari radar seni hiburan kerana mahu bertaubat dan fokus mendalami ajaran agama Islam.

SANA KHAN

Selepas membulatkan tekad bersara, Sara juga telah ‘membersihkan’ akaun Instagram miliknya dengan memadam semua kandungan yang menjadi kenangannya selama menjadi anak seni.

Aktres yang pernah membintangi filem Big Boss 6 dan Jai Ho itu memohon kepada peminatnya supaya mendoakan kesejahteraannya agar terus istiqamah. Kini Sara menjalani kehidupan sederhana, namun bahagia bersama suaminya, Anas Saiyad.

Dia yang juga mengenakan hijab sejak meninggalkan dunia hiburan bersyukur kerana dibimbing dengan baik oleh lelaki itu ke jalan yang diredai Allah SWT.

Arja Lee

Pelakon Arja Lee juga antara selebriti terbaharu yang mengambil keputusan meninggalkan kerjaya sebagai anak seni. Puncanya kerana dia mahu memberi fokus terhadap karier sebagai seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Kata pelakon berusia 39 tahun itu, dia sudah tidak berminat lagi dengan dunia glamor. Hidupnya kini bahkan jauh lebih tenang selepas tinggal di Kelantan sebagai pensyarah.

Lebih membulatkan tekad pelakon yang pernah membintangi drama Ariana Rose itu apabila dia tidak perlu lagi risau tentang pendapatan kerana akan memperoleh gaji tetap pada setiap bulan sebagai tenaga pengajar di UMK.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI