fbpx

Harimau Malaya sudah bersedia ke Piala AFF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD Harimau Malaya meraikan kemenangan 3-0 ke atas Maldives bersama para penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin. – SHIDDIEQIIN ZON

SKUAD Harimau Malaya enggan menekan ‘butang panik’ selepas dilihat gagal berada pada prestasi sebenar meskipun berjaya merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Maldives pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kelmarin.

Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon memberi jaminan setiap kelemahan yang ada bakal diperbaiki walaupun kejohanan Piala AFF 2022 akan bermula dalam tempoh kurang daripada seminggu.

Pan-gon mengakui aksi yang dipamerkan pasukan pada babak pertama di bawah tahap sebenar sebelum berjaya bangkit mene­mui ramuan yang diharapkan ketika penghujung separuh masa kedua.

“Saingan pada babak pertama saya akui tidak berjalan lancar dengan pemain dilihat agak bergelut untuk mencipta keserasian khususnya di posisi serangan tetapi kelemahan itu ­diperbaiki pada separuh masa kedua.

“Secara peribadi, saya tidak marah dengan pemain ketika waktu rehat babak pertama, sebaliknya hanya memberikan semangat kepada mereka supaya pamerkan karakter sebenar.

“Andai kita kalah, saya gembira dengan komitmen serta semangat pasukan dan begitu juga sebaliknya jika menang. Cuma, harus diakui ada aspek teknikal dan taktikal yang masih perlu diperbaiki oleh pasukan,” kata­nya selepas tamat perlawanan.

Pada aksi tersebut, kesemua gol skuad Harimau Malaya dijaringkan oleh Darren Lok pada minit ke-24, Faisal Halim (m-64) dan Lee Tuck (m-88).

Pengendali import dari Korea Selatan itu mengakui skuad kebangsaan sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan peringkat Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Singapura dan Vietnam bermula 21 Disember ini.

“Selepas mengharungi dua aksi persahabatan, saya boleh katakan pasukan sudah bersedia sepenuhnya kerana pemain sudah berusaha untuk membuatkan penyokong gembira.

“Namun, apa yang perlu saya lakukan dahulu adalah mengurangkan pemain ke senarai 23 terbaik sahaja berbanding 28 ketika ini dengan senarai rasmi ke saingan Piala AFF akan diumumkan selewatnya lusa (hari ini),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI