fbpx

Serbuan dadah bongkar sindiket seludup PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Kamarul Azran menunjukkan wang tunai yang dirampas menerusi serbuan di sebuah ‘townhouse’ di Cyberjaya Ahad lalu.

SEPANG – Tindakan seorang tekong darat menyembunyikan seramai 42 pendatang tanpa izin sejak 9 Disember lalu akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu kediaman jenis ‘townhouse’ di Jalan Cyberia 2, Cyberjaya dekat sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah.

Bagaimanapun katanya, hasil serbuan mendapati terdapat 26 lelaki, 15 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berada di dalam dua buah bilik berasingan di kediaman yang disewa sejak awal bulan ini.

“Selepas memecah masuk anggota mendapati suspek utama yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 42 tahun telah melarikan diri melalui pintu belakang kediaman tersebut.

“Pemeriksaan kemudiannya menemui seramai 42 warga Indonesia yang disembunyikan di dalam dua buah bilik selain rampasan dadah jenis syabu seberat 0.24 gram dan wang tunai berjumlah RM7,000 milik suspek,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sepang di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, suspek yang didapati terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan turut bertindak sebagai tekong darat itu kemudiannya berjaya diberkas di sebuah hotel di Dengkil, semalam.

Jelasnya, semakan lanjut mendapati 33 daripada pendatang tanpa izin terbabit menggunakan pasport yang telah tamat tempoh manakala sembilan lagi yang lain tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Berdasarkan soal siasat, kesemua warga asing yang ditahan akan diseludup keluar menerusi jalan air iaitu melalui Pantai Bagan Lalang dan Pantai Tanjung Rhu.

“Kesemua mereka berada di rumah yang dijadikan sebagai transit itu sekurang-kurangnya sejak tiga hari lalu dan dipercayai perlu membuat bayaran di antara RM1,800 hingga RM6,000 setiap seorang untuk pulang ke negara asal,” ujarnya.

Tambah Wan Kamarul Azran, suspek direman selama empat hari sehingga 17 Disember ini untuk disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala kesemua warga asing terbabit ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI