TANPA perlu disuruh mahupun ditegur, setiap kali melihat sampah, tangan pemuda itu ringan mengutip dan membuangnya ke dalam tong sampah.
Itulah sikap yang diamalkan oleh Muhammad Taufik Ismail yang sentiasa sukakan kebersihan di mana saja dia berada.
Hal itu sudah menjadi tabiat Muhammad Taufik, 33, yang tidak pernah jemu untuk mengutip sampah meskipun dibuang oleh orang tidak dikenalinya.
Bukan setiap orang di negara ini mempunyai kesedaran kebersihan yang tinggi seperti Muhammad Taufik. Tidak seperti masyarakat Jepun yang terkenal dengan budaya mengutip sampah sebagaimana tular pada Piala Dunia
Qatar 2022 baru-baru ini apabila penonton-penonton Jepun mengutip sampah di stadium, usaha murni dilakukan Muhammad Taufik harus dijadikan contoh buat rakyat Malaysia.
Disebabkan cita-citanya mahu melihat Malaysia bersih, anak muda berjiwa besar ini telah memulakan satu gerakan sukarela dinamakan Pinktrash yang bertindak membersihkan persekitaran di mana jua.

Tidak kira di tepi-tepi jalan raya, laluan pendakian, persekitaran masjid sehinggalah tepi pantai, semuanya mahu diberikan tumpuan.
Jejaka asal Gua Musang, Kelantan itu memberitahu, sikap suka membersih terpupuk sejak kecil yang turut dipengaruhi oleh ahli keluarganya yang pengemas.
“Saya mengutip sampah kerana saya suka kawasan yang bersih. Sejak zaman sekolah, saya akan mengutip sampah yang ada setiap kali melewati mana-mana kawasan atau laluan.
“Sehingga hari ini, saya masih melakukan perkara sama, malah setiap kali saya bercuti pun saya akan sediakan beg plastik sampah untuk mengutip sampah di kawasan dikunjungi,” kata anak ketujuh daripada lapan beradik itu.
Sikap suka mengutip sampah yang diamalkan Muhammad Taufik turut mempengaruhi rakan-rakan rapatnya, sehingga mereka mencadangkan supaya dia berkongsi kegiatan tersebut melalui gerakan Pinktrash yang diasaskannya.
Kini, gerakan kecil yang dianggotai kebanyakannya oleh rakan dan ahli keluarganya itu terus melakukan pelbagai aktiviti pembersihan.
Kata graduan Ijazah Teknologi Multimedia dari Universiti Kuala Lumpur itu, nama Pinktrash dicadangkan oleh seorang rakannya dan ia terus melekat sebagai nama kumpulan yang melakukan aktiviti sukarelawan mengutip sampah.
“Tiada apa simbolik di sebalik nama itu, memandangkan saya sukakannya, lalu nama itu terus dipilih untuk gerakan ini,” katanya.

di laluan-laluan pendakian
Gerakan Pinktrash secara rasmi ditubuhkan pada November 2019 dengan mengumpulkan rakan-rakan serta individu dengan minat sama yang mahu menjadikan Malaysia lebih bersih menerusi budaya ringan tangan mengutip sampah.
“Sebenarnya sebelum Pinktrash diwujudkan lagi, saya dan rakan-rakan terdekat sudah lebih awal melakukan aktiviti mengutip sampah ini, antaranya kami mengutip sampah sambil pergi berjoging atau bercuti.
“Pinktrash ini adalah idea rakan-rakan yang mencadangkan supaya aktiviti kami ditonjolkan menerusi satu entiti dan pada masa sama dapat mendidik orang ramai melalui teladan,” kongsinya yang kini menguruskan Pinktrash secara sepenuh masa.
Rentetan penubuhan Pinktrash, pelbagai aktiviti kesukarelawanan mengutip sampah telah dilaksanakan sama ada secara perseorangan atau dengan menyertai program anjuran badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Antara aktiviti yang dilakukan secara berterusan oleh Pinktrash adalah mengutip sampah di kawasan parkir Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dan sekitar pantai di Pulau Bidan, Sungai Petani, Kedah.
Melihat akaun media sosial Pinktrash, dapat dilihat mereka telah mengusahakan mengutip sampah di jalan-jalan raya sekitar ibu kota dan banyak kawasan percutian seperti Pulau Perhentian, Terengganu; Pulau Bohey Dulang, Sabah; Sungai Gading, Perak dan Taman Alam Kuala Selangor.
Merupakan salah seorang sukarelawan Pinktrash sejak awal penubuhannya, Nadiah Abd. Sanit, 30, memberitahu, dia menyertai kumpulan itu kerana mempunyai minat yang sama dengan Muhammad Taufik.
“Saya mula menyertai aktiviti bersama Pinktrash di Tasik Titiwangsa kemudian turut bersama dalam program di beberapa lokasi lain termasuk Pulau Bidan,” kongsinya.
Tambah Nadiah, penglibatan dalam Pinktrash memberi impak yang positif serta kepuasan tersendiri dalam hidupnya.

Katanya lagi, bukan semua orang mempunyai kesedaran untuk ‘tolong’ buang sampah orang lain yang bersepah di depan mata dan sikap itu yang mahu diubah supaya orang ramai menjadikan kebersihan sebagai keutamaan.
Malah, kongsinya ada segelintir orang yang memandang sinis serta mempersoalkan kegiatan mereka yang mana dilihat seolah-olah membuang masa kerana sampah akan tetap ada dibuang oleh orang lain.
Bagaimanapun, perkara itu tidak mematahkan perjuangan Pinktrash.
“Pinktrash melakukan kerja mengutip sampah secara sukarela dan tanpa justifikasi daripada orang lain, kami mahu apa yang kami lakukan akan memberi kesedaran serta menjadikan misi Malaysia bersih terlaksana,” ujarnya.
Gerakan yang dilakukan menerusi Pinktrash turut menarik rasa kagum seorang aktivis permakultur yang juga terlibat dalam program pemuliharaan alam sekitar di Pulau Bidan, Ahmad Fadzil Izaharudin, 38.
Menurutnya, usaha yang dilakukan Pinktrash boleh membuka mata orang ramai tentang kebersihan.
“Mereka sangat serius dalam gerakan yang dilakukan dan saya amat kagum dengan semangat dan perjuangan mereka untuk menjadikan Malaysia lebih bersih.
“Meskipun tidak ramai yang mempunyai semangat sedemikian, namun Pinktrash membawa satu misi yang jelas tentang sifat dan budaya mengutip sampah yang mana boleh diteladani oleh orang lain,” ujarnya.














