PENGGUNA platform TikTok pastinya pernah melihat satu trend popular di aplikasi tersebut yang bertajuk ‘Cake or Real’. Menerusi trend itu, orang ramai diminta meneka sama ada sesebuah objek yang dipaparkan dalam video itu objek sebenar atau sebiji kek.
Trend tersebut jelas menunjukkan kehebatan pembuat kek dari seluruh dunia dalam menghasilkan manisan itu yang kelihatan ‘hidup’.
Bakat pembuat kek realistik itu sememangnya amat dikagumi kerana apabila objek tersebut dipotong, ia menyebabkan pengguna TikTok terkejut dan berasa ‘tertipu’ apabila objek yang disangka asli itu sebenarnya sebiji kek.
Siapa sangka, bakat menghasilkan sebiji kek realistik itu turut dimiliki oleh seorang anak tempatan yang namanya kini mulai popular dalam kalangan pengguna media sosial.
Pemilik nama Muhamad Zuhair Mohd. Shaid, 31, yang sebelum ini merupakan seorang arkitek mengambil langkah untuk mengubah angin dengan menjadi pereka kek sepenuh masa.
Zuhair menerusi laman instagram @reka.baka banyak memuat naik foto keknya yang cukup mengagumkan dan sekali pandang tidak ubah seperti objek sebenar.
Antara kek yang pernah dihasilkannya termasuk kek menyerupai batu dengan hamparan kain putih berbunga biru, kek mirip kuntuman-kuntuman bunga dan kek dengan hiasan menyerupai ais sebenar.
Ujar Zuhair, proses menghasilkan sebiji kek yang mirip dengan objek sebenar agak mencabar, memandangkan dia perlu sentiasa kreatif dan melihat sesuatu objek dari perspektif yang berbeza.
“Sebagai designer atau pereka kek, saya perlu sentiasa kreatif bagi mendapatkan idea bagi menghasilkan kek yang nampak realistik.
“Antara perkara yang sering saya lakukan adalah mengunjungi galeri seni bagi mendapatkan idea dan melihat objek-objek sekeliling saya seperti pokok atau bunga dalam pandangan yang mungkin berbeza dengan pandangan orang lain,” katanya kepada K2.

Bercerita tentang proses penghasilan kek batu dengan hamparan kain berbunga yang juga merupakan salah satu kek paling rumit pernah dihasilkannya, Zuhair berkata, proses pembuatan kek itu mengambil masa selama beberapa hari memandangkan ia perlu dibuat dengan teliti bagi mendapatkan tekstur dan warna yang paling mirip dengan objek tersebut.
“Bagi menghasilkan kain pada kek itu saya menggunakan fondant putih dan saya melukis corak bunga satu per satu dengan menggunakan berus kecil.
“Ia kemudiannya dilipat dengan teliti bagi mendapatkan tekstur yang menyerupai kain sebenar,” ujarnya.
Tambahnya, antara cabaran lain untuk membuat kek realistik termasuklah memastikan kek berada dalam suhu bersesuaian.
Sebagai contoh, Zuhair berkata, proses menghasilkan sebiji kek dengan isomalt yang menjadi pengganti gula bagi mendapatkan tekstur mirip ketulan ais perlu dibuat dalam suhu sejuk bagi memastikan ia tidak cair.
Tambah Zuhair, setiap kek mengambil masa yang berbeza-beza untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kesukarannya.
Bagi kek dua tingkat rekaan sederhana, ia boleh disiapkan sekitar empat jam. Bagi kek yang rumit dengan perincian yang banyak pula, ia boleh mengambil masa sehingga dua minggu.
Kongsi Zuhair, kebanyakan kek yang dihasilkannya ialah kek perkahwinan.
Akui Zuhair, peralihannya daripada seorang arkitek kepada seorang pereka kek tidak begitu sukar kerana kedua-dua industri itu berkongsi asas sama.
Malah, Zuhair juga menyifatkan bahawa pengalamannya sebagai arkitek banyak membantunya dalam kerjaya baharunya kini.
“Apabila anda mengambil kursus seni bina, ia secara tidak langsung mengajar anda untuk melihat objek yang ‘biasa’ itu sebagai luar biasa.
“Justeru, pandangan itulah yang bantu saya untuk reka dan hasilkan kek yang nampak hidup,” ujarnya.

Ditanya tentang apa yang membuatkan dia memilih untuk menjadi seorang pereka kek, Zuhair mengakui kerjaya tersebut memberikannya satu kepuasan.
“Setiap kali saya hasilkan kek dan melihat sendiri hasil titik peluh saya yang bersengkang mata semata-mata untuk menyiapkan tempahan pelanggan, saya berasa cukup puas.
“Berbeza dengan industri seni bina, saya perlu menunggu lebih lama untuk melihat hasil titik peluh saya memandangkan sesebuah projek tentunya memakan masa bertahun-tahun untuk disiapkan.
“Sebaliknya rekaan kek, dalam masa beberapa hari, saya sudah boleh nampak kek rekaan saya itu berdiri gah di depan mata,” ujarnya.
Keunikan kek yang dihasilkan Zuhair juga membuatkan nama perniagaannya Rekabaka kini kian dikenali bukan saja dalam negara tetapi juga pengguna media sosial dari luar negara.
Bahkan, ruangan komen pada Instagramnya sentiasa dipenuhi komen-komen daripada pembuat kek dari Britain dan Perancis, yang turut sama mengagumi kecantikan kek-kek yang dihasilkan Zuhair.
Jelas Zuhair, dia tidak menyesal meninggalkan kerjaya yang stabil untuk menceburi bidang perniagaan kek yang cukup diminatinya, memandangkan dia berpegang kepada prinsip kita perlu mencuba lakukan apa sahaja
“Saya sudah terlibat dalam bidang seni bina selama 10 tahun dan buat masa ini, saya tidak melihat diri saya akan kembali menjadi seorang arkitek.
“Namun, siapa tahu, mungkin kelak saya berubah fikiran. Pada saya, hidup ini singkat dan selagi terdaya, tidak salah mencuba sesuatu yang kita minat kerana kita tidak pernah tahu ke mana perjalanan itu akan membawa kita,” ujar Zuhair menutup bicara.














