fbpx
Zambry

Zambry wakil PM ketuai Malaysia ke Sidang ASEAN-EU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, beliau selaku wakil khas Perdana Menteri akan diiringi pegawai kanan Kementerian Luar ke Brussels, Belgium.

“Sidang yang julung kali diadakan ini melibatkan pemimpin negara anggota ASEAN dan EU serta bakal membincangkan hala tuju hubungan dialog dua blok tersebut.

“Perbincangan itu turut merangkumi kerjasama politik dan keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, perubahan iklim, keselamatan makanan serta pembangunan mampan,” katanya tadi.

Ini merupakan julung kali penampilan beliau di luar negara setelah dilantik sebagai Menteri Luar pada 3 Disember lalu dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Esok, Zambry dijadualkan menghadiri sesi C-Suite Luncheon anjuran Majlis Perniagaan ASEAN-EU dengan acara libat urus bersama-sama para pemimpin perniagaan Eropah.

Beliau turut akan diiringi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong dan para pegawai kanan dari kementerian berkenaan pada program itu.

“Di sela sidang kemuncak ini, Malaysia dan EU dijadualkan menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Perkongsian dan Kerjasama Pelbagai Bidang.

“Sasaran pemeteraian tersebut bertujuan untuk meningkatkan hubungan politik, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pengangkutan, pertanian, kewangan dan maritim,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN