fbpx

Piala Dunia: Portugal dakwa pemenang Piala Dunia sudah dirancang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TELLO (kanan) didakwa tidak sepatutnya mengadili perlawanan melibatkan Portugal dan Maghribi ketika Argentina juga masih beraksi pada pusingan tersebut. – AFP

DOHA – Dua tonggak Portugal, Bruno Fernandes dan Pepe menghamburkan rasa kecewa ekoran keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan pengadil dari Argentina, Facundo Tello untuk mengemudi aksi suku akhir bertemu Maghribi kelmarin.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Thumama itu, Portugal ditunjukkan jalan keluar apabila tewas 0-1 menerusi gol kemenangan yang dijaringkan Youssef En-Nesyri pada minit ke-42.

Keputusan itu menyaksikan Maghribi melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan Afrika pertama melayakkan diri ke separuh akhir selain dianggap sebagai ‘pemusnah gergasi’ pada edisi kali ini.

Fernandes tanpa berselin­dung meluahkan rasa tidak puas hati apabila menganggap Piala Dunia kali ini sudah dirancang dengan Argentina menjadi pilihan FIFA untuk menjadi juara.

“Saya tidak tahu sama ada mereka (FIFA) akan serahkan trofi kepada Argentina ataupun tidak. Saya cuma beritahu apa yang bermain dalam kepala saya.

“Sudah tentu satu perkara yang sangat pelik apabila seorang pengadil yang pasukannya masih beraksi dalam pusingan kalah mati diberikan tugas mengadili perlawanan penting seperti ini,” kata pemain Manchester United itu.

Pada masa sama, Pepe menyindir FIFA supaya menyerahkan trofi Piala Dunia kepada Argentina secepat mungkin kerana menganggap badan induk bola sepak dunia itu akur dengan ru­ngutan yang dilakukan Lionel Messi dalam aksi terdahulu.

“Memang tidak masuk akal seorang pengadil Argentina boleh bertugas pada perlawanan hari ini (kelmarin), lebih-lebih lagi selepas Messi dan Argentina mengkritik pengadil dari Sepanyol melakukan bantahan mengenai mutu pengadilan.

“Penjaga gol Maghribi sentiasa menghentikan perlawanan, tetapi pengadil hanya memberikan lapan minit masa kecederaan. Selepas apa yang berlaku hari ini (kelmarin), saya fikir mereka boleh serahkan trofi kepada Argentina,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI