KUCHING – Lima buah rumah di Lorong 1, Kampung Pulo Ulu di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi.
Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1.46 pagi itu menyebabkan seramai 33 orang tinggal sehelai sepinggang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata susulan laporan yang diterima, pihaknya menggerakkan pasukan dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi iaitu melibatkan BBP Petra Jaya, BBP Padungan dan BBP Tabuan Jaya.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melapor kebakaran melibatkan lima buah rumah telah terbakar hampir 100 peratus.
“Susulan itu, anggota kemudian bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air pili berhampiran, air daripada jentera bomba serta sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal kira-kira pukul 2.18 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tambahnya, kesemua 33 orang penghuni berjaya menyelamatkan diri dan selain rumah, turut terbakar adalah sebuah Perodua Axia serta empat buah motosikal.-KOSMO! ONLINE














