HAMPIR tiga tahun mengenali hati budi dan menyulam cinta, Suria (bukan nama sebenar) akhirnya selamat disatukan bersama ‘syurganya’.
Penyatuan dua hati sebagai pasangan suami isteri itu selamat dilangsungkan dalam sebuah majlis sederhana sekitar awal Januari, lima tahun lalu.
Meskipun suaminya iaitu Zul (bukan nama sebenar) hanya berniaga kecil-kecilan dan tiada pendapatan tetap, namun dia menerima segalanya dengan hati terbuka.
Tiga tahun mengenali hati budi lelaki tersebut sudah cukup membuatkan kalbu wanita kelahiran Melaka berusia 36 tahun itu terpaut kepada Zul atas rasa cinta dan kasih.
Zul juga secara peribadi dilihat lelaki yang sangat baik dan tidak banyak kerenah. Walaupun jarak umurnya tujuh tahun lebih muda berbanding isteri, itu bukan pengukur dalam menentukan kebahagiaan.
Suria yang makan gaji sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta di Ayer Keroh, Melaka bahagia menjalani kehidupan bersama suaminya.
Di awal perkahwinan, mereka berdua saling mengecap dan menghargai apa itu makna cinta, membuatkan Suria lebih menyayangi serta menghargai Zul.
Setahun berkongsi hidup, Suria disahkan hamil anak sulung dan berita itu membuatkan mereka berdua begitu gembira kerana bakal bergelar ayah dan ibu.
Di awal usia kehamilan, Zul dilihat begitu menjaga isterinya bagai menatang minyak yang penuh kerana risau sebarang perkara tidak elok berlaku.
Entah bagaimana, memasuki bulan kelima kehamilan, Zul yang pada ketika itu dihambat masalah dan kerugian bertimpa-timpa dalam perniagaan tiba-tiba berubah.
Dia yang memang minat memancing sejak usia muda dan minatnya itu memang diketahui Suria mula melakukan semula aktiviti tersebut bersama rakan-rakan terdekatnya.
“Sejak kenal dengan suami, saya memang tahu dia seorang kaki pancing. Masa kami bertunang dahulu pun, dia kerap mengikut rakan-rakan melepaskan gian memancing.
“Sejak bernikah dengan saya, ini kali pertama dia minta izin untuk keluar memancing. Pada mulanya, saya tidak kisah dan faham mungkin ini salah satu cara untuk dia lepaskan tekanan dan masalah yang dibebani.
“Mula-mula hanya sekali, lepas tu minta lagi dan bila kandungan saya semakin meningkat usia, ada kala dia langsung tak minta izin dan tak pulang ke rumah pun. Senang kata macam terlalu taksub dan lupa bini di rumah,” katanya.
Dipendekkan cerita, Suria memberitahu, dia selamat melahirkan anaknya tanpa suami di sisi yang ketika itu dipercayai berada di Pahang mengikut rakannya memancing.
Ujarnya, selepas dua hari bayinya lahir dan mereka keluar dari hospital, barulah suaminya pulang ke rumah tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“Saya tak tahu apa yang merasuki dia. Siang malam asyik gila dengan pancing. Bisnes dan kerja pun dah bukan jadi keutamaan disebabkan taksub dengan hobi lama.
“Paling menyedihkan, ketika saya berpantang pun, suami ada di rumah dua hari saja sebelum keluar semula untuk memancing selama beberapa minggu bersama rakan di Johor dan tempat lain.
“Masa itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sedih dan sakitnya hati ini, tetapi saya gagahkan kerana anak kami.
“Suami betul-betul berubah, ikan dan hobinya itu lebih penting daripada isteri dan anak di rumah,” ujarnya yang bersyukur sepanjang tempoh berpantang ditemani adik perempuan bongsunya.
Diam tidak diam kata Suria, bayinya juga sudah menginjak usia dua tahun, namun suaminya tetap tidak berubah dan masih dengan ketaksubannya memancing serta meninggalkan keluarga tanpa rasa bersalah.
“Saya rasa dua tahun kebelakangan ini macam ibu tunggal seorang anak. Suami bagaikan ada dalam tiada. Tanggungjawab, nafkah zahir dan batin semuanya tidak diendahkan.
“Puas saya berendam air mata dan makan hati dengan dia. Bila bawa berbincang pun, akhirnya saya juga yang dimarahi dan dikatakan tidak faham dengan minatnya selain jangan sesekali menghalang kemahuannya.
“Jadi, setelah saya berfikir masak-masak dan mendapatkan nasihat pakar tanpa desakan mana-mana pihak, biarlah saya membawa diri bersama anak dengan bercerai daripada terus hidup begini,” ujarnya
Akhiri Suria, siksaannya terlerai apabila mahkamah syariah menerima permohonan cerainya, sekali gus menyerahkan hak penjagaan anak sepenuhnya kepadanya.
















