fbpx

Ketirisan 5 juta data penumpang dan kakitangan AirAsia masih disiasat – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital masih meneruskan siasatan lanjut berhubung insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan AirAsia yang digodam oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Daixin.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, siasatan awal mendapati serangan siber ke atas sistem pelayan AirAsia yang berlaku pada 12 November lalu adalah berpunca daripada akses tanpa kebenaran mengakibatkan serangan perisian tebusan (ransomware), berpotensi menyebabkan kebocoran data.

“Pasukan Penyiasatan Kementerian Komunikasi dan Digital yang terdiri daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) telah memulakan siasatan dengan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Capital A yang merupakan syarikat induk kepada AirAsia pada 1 Disember lalu.

“Susulan daripada perbincangan tersebut, Capital A telah diarahkan untuk mengemukakan dokumen keterangan berserta bukti data berkomputer yang berkaitan dengan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan perincian berhubung kes tersebut tidak dapat didedahkan kepada umum ketika ini berikutan siasatan masih dijalankan serta bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencerobohan dan impak keseluruhan insiden yang berlaku,’ ujarnya.

Fahmi turut menggesa kepada semua pengguna data sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa dengan memastikan infrastruktur sistem, pangkalan data serta rangkaian dikemas kini dan selamat.

“Pengguna Data hendaklah menggariskan polisi keselamatan siber dan memastikan polisi tersebut dipatuhi sebagai langkah bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI