Sebagaimana yang kita tahu, Islam tidak memberikan kesusahan kepada umatnya dalam melaksanakan ibadah. Oleh kerana itu, para musafir dibenarkan melakukan qasar dan jamak dalam solat. Boleh terangkan bila dibolehkan melakukan qasar dan jamak serta selama mana tempoh dibenarkan melakukannya ketika seseorang sedang bermusafir?
Jawapan:
Para ulama bersepakat bahawa seseorang yang bermusafir dibolehkan untuk mengqasarkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat.
Majoriti para ulama bersetuju bahawa seseorang bermusafir juga boleh menjamakkan solat kecuali Mazhab Hanafi yang mengehadkannya ketika berada di Muzdalifah semasa haji.
Bagaimanapun, para ulama berbeza pendapat mengenai jarak yang membolehkan jamak dan qasar, serta tempoh seseorang musafir melakukan jamak dan qasar.
Adapun mengenai qasar, jarak perjalanan seseorang ke destinasi tertentu dibolehkan qasar berdasarkan kepada dua penilaian.
Pertama, berdasarkan kepada jarak iaitu lebih kurang 80 kilometer dan ini merupakan pendapat jumhur ulama. Tidak ada hadis sahih yang menetapkan jarak ini. Namun, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas yang mengambil kira jarak antara Mekah dengan Taif serta Mekah dengan Jeddah.
Kedua, berdasarkan kepada ‘uruf yang mengambil kira sesuatu jarak perjalanan sebagai musafir. ‘Uruf ini mengambil kira kedudukan persiapan dan kesukaran yang berlaku ketika musafir.
Pendapat ini tidak mengehadkan jarak tertentu. Tokoh-tokoh seperti Ibn Qudamah al-Maqdisi, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Syawkani, Muhammad Saleh Uthaimin, al-Albani, al-Qaradhawi dan lain-lain menyokong pendapat ini.
Jika seseorang berkeyakinan yang ‘uruf perjalanannya itu bersifat musafir, walaupun kurang daripada jarak 80km, maka, perjalanan tersebut dikira musafir.
Namun, jika sukar untuk menentukan kelayakan perjalanannya untuk dianggap sebagai musafir, boleh berpegang kepada pendapat jumhur ulama yang menetapkan lebih kurang 80km untuk melayakkannya dikira sebagai musafir.
Berhubung tempoh yang membolehkan jamak dan qasar, setelah meneliti pendapat yang pelbagai dalam kalangan para ulama mazhab yang empat dan selain mereka, dapatlah dirumuskan seperti berikut:
Seseorang yang bermusafir dan mengetahui tempoh berada di sesuatu tempat, individu itu boleh melakukan jamak dan qasar selagi waktu tersebut tidak melebihi tiga hari tanpa mengira hari tiba dan hari keluar.
Jika dia mengetahui tempoh keberadaannya di situ melebihi tiga hari (tanpa mengira hari masuk dan keluar), maka dia tidak boleh jamak dan qasar bermula daripada saat dia tiba di tempat itu.
Ini adalah pendapat yang dipegang dalam Mazhab al-Syafie dan ramai fuqaha lain. Pendapat ini lebih mengikat seseorang dalam menilai tempoh keizinan yang diberikan kepada seseorang semasa musafir.
Di samping itu, terdapat pendapat ulama seperti al-Imam Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim yang menyatakan seseorang yang bermusafir boleh terus melakukan jamak dan qasar tanpa terikat dengan tempoh perancangannya berada di sesuatu tempat selagi mana dia berniat kembali ke tempat asalnya atau ke tempat lain selepas itu.
Pendapat kedua ini memudahkan mereka yang terbabit dengan urusan yang banyak di tempat musafir melebihi tempoh tiga hari. Kedua-dua pendapat ini boleh diamalkan. Namun, pendapat yang pertama lebih berhati-hati (ahwat).
Adapun seseorang musafir yang berada di suatu tempat tanpa menetapkan tempoh keberadaannya di situ, sebaliknya bergantung kepada urusan yang hendak diuruskan sama ada singkat atau panjang, maka dia boleh melakukan jamak dan qasar tanpa terhad kepada tempoh tertentu sekalipun memakan masa yang lama. Ini adalah pendapat jumhur ulama dalam kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Ibn Uthaimin.
Seseorang yang sentiasa bermusafir tanpa menetap di sesuatu tempat seperti juruterbang, pelayar, angkasawan, pemandu pengangkutan awam dan seumpamanya, maka selama tempoh kemusafirannya dia boleh jamak serta qasar.
Seseorang yang mempunyai dua tempat tinggal atau lebih pada jarak musafir, maka dia tidak boleh melakukan jamak dan qasar di tempat tinggal utamanya.















