fbpx

Mahkamah: AGC perjelas sebab Abdul Azeez dilepas dan dibebaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan pihaknya tidak mempunyai keterangan dan fakta bagi menyokong sembilan pertuduhan iaitu tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya Perak serta Kedah terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sehubungan itu keputusan untuk melepas dan membebaskan Abdul Azeez dibuat selepas mengambil kira keterangan, fakta selain beberapa representasi yang pernah dibuat peguam kepada AGC.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata pihaknya menerima enam akuan berkanun daripada saksi-saksi utama pendakwaan sendiri yang menyebabkan satu siasatan yang menyeluruh dan teliti perlu dibuat oleh pihak siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terdapat bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.

“Sejak pemfailan pertuduhan di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, (Abdul) Azeez Rahim telah mengemukakan beberapa representasi ke melalui peguam belanya agar kes pendakwaan terhadapnya ditarik balik dan kesemua pertuduhan dibatalkan.

“Pada 23 September 2022, pihak Pendakwa Raya memohon kepada mahkamah satu perintah pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan mengikut Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah agar siasatan lanjut dapat dibuat. Mahkamah Sesyen telah membenarkan (Abdul) Azeez Rahim dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

“Perkembangan siasatan telah dirujuk semula kepada pihak pendakwaan yang mana pihak pendakwaan berpuas hati bahawa tiada keterangan dan fakta yang memihak kepada pihak pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pada 1 Disember lalu, beliau berkata Abdul Azeez, 56, melalui peguamnya memfailkan permohonan untuk pelepasan dan pembebasan membabitkan kesemua pertuduhan.

Namun selepas kertas siasatan diteliti, Idrus berkata pihaknya bersetuju untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Abdul Azeez selain tidak membantah permohonan pelepasan dan pembebasan bekas Ahli Parlimen Baling itu pada hari ini.

Terdahulu pada prosiding pagi tadi Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan untuk Abdul Azeez dilepas dan dibebaskan terhadap tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dalam prosiding hari ini di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Azhar membenarkan permohonan notis usul yang dikemukakan peguam bela Amer Hamzah Arshad supaya anak guamnya dibebaskan terus daripada semua pertuduhan berkenaan.

Abdul Azeez pada 23 September lalu dilepas tanpa dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah atas alasan representasi tertuduh dipertimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut.

Bagi tiga pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara untuk enam pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI