fbpx

Tulang rusuk patah selepas batuk akibat makan pedas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Doktor membalut bahagian dada Huang dengan ketat dan menasihatkannya agar berehat selama lebih sebulan bagi merawat kembali keadaan tersebut. – India Times

BEIJING – Seorang wanita di Shanghai, China patah tulang rusuk akibat batuk sejurus selepas memakan makanan pedas, lapor laman berita India Times semalam.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Huang itu berkata, ketika dia mengalami batuk, secara tiba-tiba dia ada mendengar bunyi seperti ‘sesuatu yang patah’ pada bahagian dadanya.

Dia bagaimanapun tidak mengambil berat mengenai perkara itu dan meneruskan kehidupannya seperti biasa, sehinggalah suatu hari di mana dia mula berasa sakit pada bahagian tersebut.

Huang kemudian mula mengalami kesukaran untuk bernafas dan berasa sakit ketika bercakap. Keadaan itu membuatkan dia pergi berjumpa doktor bagi mendapatkan kepastian mengenai keadaan kesihatannya.

Selepas melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT), doktor mendapati tulang rusuk wanita itu telah patah. Sebagai rawatan, doktor membalut bahagian dadanya dengan ketat dan menasihatkannya agar berehat selama lebih sebulan bagi merawat kembali keadaan tersebut.

Menurut doktor yang merawat Huang, punca kepada keadaan itu adalah berat badan wanita itu yang terlalu ringan.

Huang memiliki ketinggian 171 sentimeter namun, beratnya hanya 57 kilogram yang bermaksud ia terlalu ringan untuk saiz badannya.

“Tulang rusuk anda boleh dilihat dengan jelas di bawah kulit. Tiada otot untuk menyokong tulang anda, jadi amat mudah untuk tulang rusuk anda patah apabila batuk,” kata doktor tersebut.

Berikutan kejadian itu, Huang bertekad untuk mengubah gaya hidupnya kepada yang lebih sihat dan menjadikan senaman sebagai aktiviti rutin. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI