fbpx

Seleweng RM600b: SPRM seru pihak ada maklumat tampil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat berhubung isu penyelewengan perbelanjaan RM600 bilion yang didakwa melibatkan kerajaan terdahulu untuk tampil menyalurkannya.

Suruhanjaya tersebut berkata, sehingga kini pihak mereka telah membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa pihak tentang isu penyelewengan tersebut.

“SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional dari semua sudut berkaitan isu ini.

“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, sekiranya perlu, pihak SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar 6 Disember lalu mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak mencabar beliau dalam isu membabitkan dakwaan penyelewengan tersebut.

Jelas beliau, terdapat beberapa proses dan prosedur yang tidak dipatuhi oleh kerajaan yang pada ketika itu diterajui oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selain mendedahkan syarikat yang mempunyai kepentingan ‘membabitkan keluarga’ turut terlibat.

Anwar pada masa sama turut menyerahkan kepada Jemaah Menteri untuk menilai keperluan menubuhkan Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion berkenaan bagaimanapun katanya cadangan itu belum dibawa ke Kabinet.

Pada 15 November lalu, bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari telah membangkitkan kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion itu ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Muhyiddin bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut serta menyifatkan ia sebagai tidak masuk akal malah perkara itu sudah pasti diketahui oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekiranya benar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI