fbpx

Pertingkat integriti tinggi penjawat awam Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alias Salim (tengah) dan Rahilah (dua kanan) ketika perasmian seminar itu di Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Semua penjawat awam terutama yang berkhidmat di unit pengurusan dan perolehan di Selangor diingatkan fokus dengan tugasan dan menerapkan budaya integriti tinggi.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim berkata, golongan yang boleh memilih dan mencadangkan individu, syarikat atau sebut harga itu perlu sentiasa telus serta tidak terlibat dalam gejala rasuah atau salah guna kuasa.

Kata beliau, pihaknya memandang serius isu salah laku penjawat awam dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Nilai dan integriti ketika bertugas amat penting bagi memantapkan lagi perkhidmatan awam di negara ini khususnya di Selangor.

“Perkara itu bagi memastikan penjawat awam tidak terlibat dalam salah guna kuasa kerana kita ada peruntukan mencukupi bagi melaksanakan tindakan demi keadilan semua pihak,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Integriti: Penguatkuasa Berintegriti Memperkasa Organisasi Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yang turut dihadiri Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat di sini, hari ini.

Jelas Alias, program seumpama itu dianggap usaha murni bagi mendidik penjawat awam terutama penguat kuasa bagi memastikan melestarikan budaya nilai integriti sepanjang melaksanakan tugas seterusnya memartabatkan perkhidmatan awam.

Sementara itu, Rahilah berkata, seminar berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai peranan dan tanggungjawab anggota penguat kuasa dalam memperkasakan undang-undang serta peraturan.

“Penglibatan dan sokongan semua pihak mampu membina imej jabatan ke arah mempertingkatkan sistem tadbir urus cemerlang dan telus.

“MPKS komited dalam memerangi isu rasuah dalam kalangan warganya dengan mempunyai hubungan erat dengan SPRM,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI