fbpx

Naib Presiden Argentina dijel 6 tahun kerana rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cristina Fernandez de Kirchner - AFP

BUENOS AIRES – Naib Presiden dan bekas Presiden Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dilarang memegang jawatan awam untuk seumur hidup selepas didapati bersalah dalam kes penipuan berjumlah AS$1 bilion (RM4.40 bilion), lapor akhbar The Guardian semalam.

Kirchner yang pernah menjadi presiden selama dua penggal antara tahun 2007 hingga 2015 didapati bersalah melakukan penipuan oleh sebuah mahkamah di negara berkenaan kelmarin.

Selain dilihat tidak mungkin akan menjalani hukuman penjara kerana mempunyai imuniti berikutan peranannya dalam kerajaan, beliau juga dijangka melakukan proses rayuan hukuman melibatkan masa bertahun-tahun.

Bagaimanapun, panel tiga hakim menolak pertuduhan kedua terhadapnya yang mana Kirchner didakwa menjalankan organisasi jenayah dan jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara selama 12 tahun.

Ini adalah kali pertama kali seorang Naib Presiden Argentina disabitkan dengan jenayah semasa masih memegang jawatan dan dihukum penjara oleh sebuah mahkamah negara berkenaan.

Dalam penstriman secara langsung selepas keputusan tersebut diumumkan, Kirchner berkata, pertuduhan yang dibuat terhadapnya itu adalah bermotifkan politik. 

“Adalah jelas bahawa idea itu (tuduhan tersebut) sentiasa untuk mensabitkan saya. Ini adalah negara mafia,” katanya yang diramalkan akan bertanding lagi untuk jawatan presiden pada tahun depan.

Keputusan itu pasti akan memburukkan situasi di Argentina yang mana wanita berusia 69 tahun itu mendominasi landskap politik. Pada September lalu, beliau terselamat daripada percubaan membunuhnya oleh seorang lelaki.

Dalam kejadian itu, pistol lelaki berusia 30-an itu gagal berfungsi dan dia dapat ditangkap serta kini berada dalam tahanan polis sementara kes percubaan membunuh tersebut sedang disiasat.

Kirchner dituduh mengatur 51 kontrak kerja awam di wilayah Patagonia, Santa Cruz untuk diberikan kepada syarikat milik Lazaro Baez, iaitu seorang rakannya dan sahabat kepada mendiang suaminya, Nestor Kirchner. Beliau juga pernah menjadi presiden Argentina dari tahun 2003-2007. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI