fbpx

Pengurusan baik bantu tawar gaji lebih lumayan kepada pekerja – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar hadir pada Majlis Pelancaran Kampus dan Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan Akademi Malaysia Airline Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

SEPANG – Kaedah pengurusan baik yang diamalkan oleh syarikat penerbangan dengan menerapkan prinsip tatakelola dilihat berupaya memberikan manfaat kepada pekerja apabila mampu menawarkan gaji lebih lumayan dan setimpal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini berikutan, prinsip ketelusan boleh mengelakkan pembaziran, seterusnya memberi habuan dan pulangan upah lebih baik kepada pekerja.

“Kesediaan kita bekerja sebagai satu pasukan dengan prinsip ketelusan mampu mengelak pembaziran. Kita boleh selamatkan negara dan beri habuan dan pulangan upah kepada pekerja.

“Jangan kita remehkan soal ini kerana ada keluarga yang berhak diberi perhatian dan pertimbangan.

“Dan kerana keputusan kita cermat, berhemah, urus dengan baik dan telus, ia akan menjamin masa depan lebih baik kepada mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Kampus dan Upacara Pecah Tanah Simulasi Penerbangan MAB Academy, di sini tadi.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke dan Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Datuk Izham Ismail.

Pada masa sama, Anwar juga berharap agar Malaysia Aviation Group (MAG), Khazanah Nasional dan Kementerian Pengangkutan terus menjalinkan kerjasama dengan bekerja sebagai satu pasukan yang telus.

“Sekarang ini, ada beberapa kalangan termasuk pembangkang mempertikai peranan dan pendirian kita untuk kekalkan tatakelola serta ketelusan, selain mengapa kita memerangi rasuah dan pastikan kaedah betul.

“Tetapi, akibatnya (tiada tatakelola) ialah negara terbelit hutang besar, MAS robek selain pegawai termasuk dari juruterbang hingga juruteknik, semua terkesan kerana tiada pendapatan.

“Ia ialah kesan daripada tindakan tamak oleh sesuatu kumpulan yang memberi kerosakan kepada negara, syarikat dan kakitangan,” jelasnya.

Susulan itu, katanya, pentadbiran Madani mewajibkan perkara itu diperbetulkan, seterusnya memberikan manfaat setimpal kepada pekerja yang sentiasa memberikan perkhidmatan cemerlang.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan mahu MAG menerapkan soal nilai, kemanusian, ihsan dan rahmah dalam pengurusan mereka selain soal transformasi digital, transisi tenaga dan pelan infrastrukur baik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI