fbpx

PPj tarik 31 kenderaan buruk, tersadai di blok kuarters Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPJ) dalam operasi tundaan kereta buruk di sekitar Blok Fasa 14-12, Presint 14, Putrajaya hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Sebanyak 31 buah kenderaan buruk dan tersadai di kawasan blok-blok kuarters di sini ditarik menerusi operasi bersepadu yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH).

Pengarah Penguatkuasa PPj, Mohd Ali Jusoh berkata, operasi selama tiga hari itu melibatkan kuarters di Presint 14 (Fasa 12 dan 14), Presint 15 (Fasa 12B dan 15) serta Presint 9 (Fasa 8).

Menurutnya, kesemua pemilik kenderaan yang tersadai telah pun diberi notis sebanyak tiga kali daripada BPH untuk mengosongkan kawasan parkir.

“Sebenarnya ada lebih 60 buah kenderaan yang dikenal pasti tapi selepas BPH menghantar notis kepada pemilik, mungkin ada yang telah mengalihkan kenderaan tersebut dan penarikan 31 buah kenderaan kita akan selesaikan dalam masa tiga hari ini.

“Kesemua kenderaan kita akan bawa ke depoh simpanan di Presint 20 dan selepas itu pemilik kereta yang ingin membuat tuntutan perlu berurusan dengan PPj dengan menjelaskan caj kompaun, kos tunda serta kos simpanan,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu menunda kereta buruk dan terbiar di Presint 14 hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata, tindakan itu dibuat susulan aduan-aduan yang diterima daripada penghuni kuarters mengenai kewujudan kenderaan yang terbiar dan sudah tidak lagi digunakan di tempat letak kereta dan kawasan kejiranan.

Jelasnya, tempoh selama enam bulan diberikan kepada pemilik yang ingin membuat tuntutan ke atas kenderaan yang telah ditarik dan disimpan di depoh simpanan.

“Kalau sebelum ini kita beri tempoh tiga bulan sahaja tapi sekarang dipanjangkan kepada enam bulan untuk mana-mana pemilik buat tuntutan.

“Tahun lepas ada lebih 100 kenderaan tersadai yang ditarik dengan 60 buah daripadanya dilupus secara ‘scrap’ kerana tidak dituntut. Tak kira kereta itu elok atau tidak selepas lebih enam bulan memang akan dilupuskan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI