fbpx

Pencemaran udara di China ragut nyawa 64,000 bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jururawat menjaga bayi-bayi yang baru dilahirkan di sebuah hospital bersalin di Fuyang, wilayah Anhui pada Ogos lalu. – Getty Images

BEIJING – Satu kajian baharu mendapati bahawa partikel halus dalam udara tercemar telah membunuh sehingga 64,000 bayi dalam kandungan setiap tahun di China, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Statistik itu mengejutkan meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh Beijing bagi mengawal pencemaran udara sejak lebih 10 tahun lalu.

Kajian sama menganalisis 137 negara yang mana penemuannya mendapati bahawa pendedahan pada partikel terhasil apabila bahan api fosil dibakar dan lebih kecil berbanding 2.5 mikron (PM2.5),  menjadi punca  40 peratus kematian janin di Amerika Latin, Asia dan Afrika pada 2015.

China berada di tempat keempat melibatkan kematian bayi  semasa dalam kandungan berkaitan PM2.5, demikian menurut kajian diterbitkan dalam jurnal Nature Communications itu.

Sementara India yang mencatatkan 217,000 kematian janin berkaitan PM2.5 pada 2015 berada di tempat pertama, diikuti oleh Pakistan dan Nigeria.

Pasukan penyelidik dari Universiti Peking itu menjelaskan, langkah-langkah yang dilaksanakan pihak berkuasa China dalam tempoh 10 tahun lalu bagi mengawal pencemaran udara, berjaya mengurangkan bilangan kematian bayi dalam kandungan.

“Kualiti udara yang bertambah baik di sebilangan 137 negara (contohnya China), mungkin boleh membantu mengurangkan kematian semasa lahir ini.

“Justeru, memenuhi sasaran kualiti udara seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dapat mencegah tragedi ini,” kata pasukan penyelidik dalam kajian tersebut.

Tambah mereka, apabila partikel pencemaran melepasi plasenta, ia boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan pada embrio. Partikel halus itu  juga mengganggu penghantaran oksigen kepada janin.

“Dalam masa beberapa tahun ini, China berusaha sedaya upaya untuk merawat pencemaran udara dan sebagai hasilnya, ia menyaksikan peningkatan pesat dalam kualiti udara.

“Namun, populasi penduduk yang tinggi dan pembangunan sosial tidak sekata bermakna  masih ramai wanita hamil yang terdedah kepada pencemaran udara,” kata pengarang utama kajian, Zhu Tong. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI