fbpx

Pencemaran Sungai Gong: Dua beranak kekal lepas, bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail Kin Sang (dua dari kiri) dan anak lelakinya Wern Teik (tiga dari kiri), di Mahkamah Sesyen Selayang.

SHAH ALAM – Dua beranak yang terlibat dalam insiden pencemaran Sungai Gong, Rawang empat tahun lalu, kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, di sini daripada dua pertuduhan mencemarkan sungai itu.

Hakim Hasbullah Adam memutuskan demikian selepas menolak rayuan pendakwa raya sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada 22 Mei 2023 yang melepas dan membebaskan Chai Kin Sang, 66, dan anak lelakinya, Chai Wern Teik, 35.

Dalam penghakimannya, Hakim Hasbullah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa bahan berbahaya tersebut mengalir daripada premis FG Autoparts Sdn. Bhd. melalui alur air dan memasuki Sungai Gong.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa terdapat keraguan yang ketara terhadap sampel-sampel yang diambil dalam siasatan kes untuk membuktikan kandungan bahan berbahaya yang berpunca daripada premis FG Autoparts.

“Rayuan pendakwa raya ditolak, perintah pelepasan dan pembebasan dikekalkan,” kata hakim itu dalam penghakiman bertulis mahkamah bertarikh semalam yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.

Rayuan itu telah didengar dan diputuskan pada 9 November 2023.

Pada 22 Mei tahun lalu, dua beranak itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan mencemarkan Sungai Gong, Rawang.

Hakim Osman Affendi Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap kedua-dua tertuduh (ketika itu) diakhir kes pendakwaan itu.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2 Mei 2021 seramai 21 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari FG Autoparts Sdn. Bhd.

Bahan berbahaya itu dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang dengan mengetahui bahawa ia akan mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34  yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama didakwa melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari premis sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen.

Bagi kesalahan tersebut pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) dan boleh boleh dihukum dibawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Lot 16273 Jalan Sungai Bakau, Batu Arang Rawang di sini antara 17 hingga 19 Oktober 2020.

Sebelum ini media melaporkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas berikutan insiden pencemaran minyak sehingga menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI