fbpx

ECRL, LRT3 dan MRT3 diteruskan seperti biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony (tengah) ketika menyantuni pegawai kanan Kementerian Pengangkutan selepas memulakan tugas di Putrajaya, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAPA

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi jaminan bahawa projek mega dan berskala besar dikendalikan kementerian itu akan diteruskan seperti biasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia membabitkan Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Beliau berkata, pendekatan kerajaan sekarang ialah apa sahaja projek yang sedang dilaksanakan akan diteruskan.

“Saya rasa kesemua projek berkenaan telah dimulakan dan tiada masalah untuk kita diteruskan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama warga MOT di sini tadi.

Berhubung projek ECRL, Loke berkata, seperti dijanjikan ketika kempen pilihan raya lalu, projek mega itu akan diteruskan dan ia tidak akan ditangguhkan lagi.

“Projek ini sudah melalui banyak proses rundingan dan kajian semula termasuk perubahan laluan dan stesen. Kita tidak mahu sebarang bentuk penangguhan lagi ke atas projek mega ini.

“Pojek itu sudah pun dimulakan dan ia berjalan dengan baik walaupun ada ketikanya kita tidak berapa setuju dalam beberapa perkara dan keputusan yang dibuat,” katanya.

Ketika ini, kemajuan keseluruhan projek ECRL berada pada sekitar 35.9 peratus.

Projek itu dijangka beroperasi pada Januari 2027 dan ia boleh menampung 5.6 juta penumpang setahun, dengan memuatkan 440 penumpang bagi satu perjalanan membabitkan enam gerabak.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion membabitkan jajaran empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI