fbpx

Angkasawan China kembali dari ‘Istana Syurga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIU YANG melambai selepas keluar dari kapsul kapal angkasa Shenzhou-14 kelmarin. – AFP

BEIJING – Tiga angkasawan China selamat kembali ke Bumi kelmarin selepas enam bulan berada di stesen angkasa lepas Tiangong, Xinhua memetik Agensi Angkasa Lepas Manusia China sebagai berkata, manakala misi mereka dianggap ‘berjaya sepenuhnya’.

Pasukan itu berada di stesen angkasa lepas Tiangong sejak awal Jun lalu. Mereka mendarat di tapak pendaratan Dongfeng, wilayah Inner Mongolia pukul 8.09 pagi (waktu Beijing).

Menurut Xinhua, keadaan kesihatan mereka baik.

Tiangong merupakan aset utama program angkasa lepas Beijing. China telah mendaratkan kenderaan robot penjelajah di Planet Marikh dan Bulan di samping menjadi negara ketiga menghantar manusia ke orbit ketika ia cuba mengejar pencapaian Amerika Syarikat (AS) serta Russia.

Komander tiga angkasawan misi Shenzhou-14, Chen Dong dan angkasawan wanita pertama China, Liu Yang serta rakan sepasukan, Cai Xuzhe diberi tugas menyelia peringkat terakhir pembinaan stesen angkasa lepas tersebut.

Xinhua melaporkan, modul terakhir bersambung dengan struktur teras Tiangong bulan lalu yang merupakan langkah utama dalam usaha menyiapkan pembinaannya menjelang akhir tahun ini.

“Saya berbangga menjadi saksi kepada pembentukan konfigurasi asas Tiangong,” kata Dong. Bekas juruterbang tentera udara itu menjadi angkasawan China yang pertama tinggal di orbit selama lebih 200 hari.

Pasukan Dong menyerahkan baton kepada kru Shenzhou-15 dalam upacara penyerahan tugas pertama China di orbit.

China dipinggirkan dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sejak 2011 apabila AS melarang Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan terlibat dengan Beijing.

Apabila siap kelak, Tiangong dijangka mempunyai jisim seberat 90 tan atau satu perempat berat ISS. Ia menyerupai saiz stesen angkasa lepas buatan Kesatuan Soviet, Mir yang mengorbit Bumi dari tahun 1980-an hingga 2001.

Tiangong yang bermaksud ‘istana syurga’, akan beroperasi selama satu dekad dan akan mengadakan pelbagai eksperimen dalam persekitaran graviti hampir sifar. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI