fbpx

Agong sukacita kejayaan kerjasama Petronas di UAE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang di-Pertuan Agong ketika menyaksikan kerjasama yang dimeterai antara Petronas dan ADNOC di Dubai semalam.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan sukacita atas kejayaan kerjasama sulung antara syarikat pengeluar minyak dan gas tempatan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, kerjasama Petronas Abu Dhabi Sdn. Bhd. dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) itu secara langsung mengiktiraf dan sekali lagi membuktikan keupayaan syarikat Malaysia bersaing di peringkat global.

“Selain itu, kejayaan kerjasama antara syarikat gergasi pengeluar minyak dan gas negara dan Abu Dhabi itu juga secara langsung mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UAE di pelbagai peringkat, termasuk antara pemimpin-pemimpin kedua-dua negara dan hubungan sesama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perjanjian bersejarah antara anak syarikat milik penuh Petronas dengan ADNOC itu membabitkan kerjasama meneroka dan menilai Blok 1 Luar Pesisir Bukan Konvensional yang meliputi kawasan konsesi 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

Dalam pada itu, Seri Paduka baginda turut menzahirkan harapan agar kerjasama itu akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik dalam pelbagai sektor antara kedua-dua negara, termasuk sektor ekonomi demi kepentingan dan kemakmuran bersama.

Jelas Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian antara Petronas Abu Dhabi Sdn. Bhd. dan ADNOC di Abu Dhabi, semalam.

Turut hadir Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik serta barisan kepimpinan tertinggi Petronas dan ADNOC.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah kini dalam rangka lawatan khas ke Abu Dhabi selama empat hari sehingga 7 Disember atas persilaan peribadi Presiden UAE, sekali gus lawatan kelima Seri Paduka ke Abu Dhabi sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI