fbpx

Ne-Yo singgah KL lengkapkan konsert jelajah dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS 12 tahun, Ne-Yo akan kembali ke negara ini menerusi penganjuran Konsert Ne-Yo Live In Malaysia pada 21 Januari 2023.

PETALING JAYA – Penyanyi R&B Amerika Syarikat, Ne-Yo bakal kembali lagi ke negara ini bagi merealisasikan Konsert Ne-Yo Live In Malaysia di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 21 Januari tahun depan.

Penerima tiga trofi Anugerah Grammy itu berkunjung buat pertama kali di negara ini sekitar 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal selaku penganjur berkata, dendangan hit Ne-Yo yang pernah menduduki carta lagu popular membawa penonton mengimbas nostalgia lalu.

“Konsert Ne-Yo adalah justifikasi syarikat ini terhadap apresiasi peminat muzik tempatan kepada sebuah persembahan hebat.

“Kami yakin aksi secara langsung Ne-Yo sememangnya ditunggu-tunggu ramai apatah lagi setiap dendangannya masih menjadi siulan hingga ke hari ini.

“Setiap lagunya mempunyai kisah tersendiri selain berbekas dalam hati pendengar terutama mereka yang membesar dengan deretan lagunya.

“Kami yakin konsert itu nanti membangkitkan memori dan emosi penonton sekali gus dapat menarik khalayak termasuk kelompok peminat baharu,” katanya.

Penyanyi berusia 43 tahun itu pernah menjulang pulang trofi Album Kontemporari R&B Terbaik pada Grammy 2008 menerusi lagu Because Of You.

Tahun berikutnya menerusi anugerah sama, Ne-Yo merangkul anugerah Lagu R&B Terbaik dan Album Kontemporari R&B Terbaik atas tiket Miss Independent.

Maka tidak hairanlah apabila pemilik nama benar Shaffer Chimere Smith itu mempunyai kelompok peminat tegar sejak mula terbabit dalam industri muzik sekitar akhir 1990-an.

Selain Because Of You dan Miss Independent, dia yang turut menyerlah sebagai komposer mempunyai banyak lagu popular lain termasuk So Sick, Mad, Sexy Love, Knock You Down, She Knows, One In A Million dan Another Love Song.

Konsert Ne-Yo Live In Malaysia juga adalah sebahagian daripada siri jelajah dunia termasuk di Asia Tenggara.

Selain Kuala Lumpur, penyanyi itu terlebih dahulu akan singgah ke Jakarta, Indonesia pada 17 Januari 2023, sebelum mengadakan konsert di Manila, Filipina usai bertemu peminat tempatan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung konsert penyanyi itu menerusi laman web www.hitmanlive.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI