SKUAD hoki lelaki kebangsaan mencatat prestasi cukup memberangsangkan sejak kebelakangan ini apabila berjaya menjuarai Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada bulan lalu.
Lebih manis, skuad Malaysian Tigers juga telah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2023 yang bakal berlangsung di India pada Januari depan.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang prestasi skuad kebangsaan ketika ini, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual legenda hoki negara yang juga Pengurus Hoki Senior Lelaki Negara, Datuk Mirnawan Nawawi baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Sebagai bekas pemain hoki kebangsaan dan pengurus pasukan ketika ini, bagaimanakah Datuk melihat arena hoki di Malaysia secara keseluruhan? Adakah ia bertambah baik berbanding 10 tahun lalu?
Datuk Mirnawan Nawawi: Secara keseluruhan sukan hoki di negara ini bertambah baik dari pelbagai segi meliputi infrastruktur dan program.
Antara perkembangan terkini adalah kewujudan National Development Hockey Programme untuk menumpukan pembangunan hoki peringkat akar umbi di seluruh negara.
Kita juga giat membangunkan arena hoki indoor, kejurulatihan dan pengadil, malah ranking pasukan lelaki negara juga berada pada kedudukan ke-10 dunia.
Kita juga mempunyai pelan jangka panjang buat skuad hoki wanita serta menjadi tuan rumah pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia 2023.
Ketika ini, Datuk menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan Malaysian Tigers. Jadi, sejauh manakah pengalaman sebagai pemain membantu memudahkan tugas Datuk ketika ini?
Saya anggap tanggungjawab sebagai pengurus ini merupakan satu national service. Ini adalah masanya untuk saya give back kepada sukan yang saya sayangi ini.
Sebelum ini, saya pernah menjadi pengurus pasukan bawah 21 tahun negara dari 2009 hingga 2015.
Kemudian, saya dilantik sebagai pengurus pasukan hoki senior lelaki negara pada 2020.
Antara sasaran saya adalah untuk melayakkan pasukan ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik 2024.
Apa yang menarik, kali terakhir kita ke Sukan Olimpik adalah pada 2000 di Sydney, Australia yang mana saya merupakan ketua pasukan dan pembawa Jalur Gemilang buat kontinjen negara.
Sebagai pengurus pasukan, tugas saya adalah untuk menguruskan pasukan. Namun, pengalaman sebagai pemain sebelum ini banyak membantu terutamanya dalam memahami permainan itu sendiri.
Paling penting, memahami pemain-pemain dari semua aspek bagi membolehkan saya membantu mempertingkatkan lagi prestasi mereka.
Saya difahamkan ketika ini, skuad hoki negara berada di Afrika Selatan bagi persiapan Piala Dunia 2023. Boleh Datuk ceritakan apa yang dilakukan di sana dan sebab memilih Afrika Selatan?
Di Afrika Selatan, kita menyertai Kejohanan Nations Cup. Ia disertai lapan buah negara yang tidak bermain di Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Pro League. Kejohanan ini sangat sukar kerana skuad negara tidak dapat menurunkan beberapa pemain yang mengalami kecederaan.
Pemain-pemain yang tidak dapat diturunkan adalah Marhan Jalil, Nik Aiman Nik Rozemi, Shahril Saabah, Shello Silverius dan Mohd. Syafiq Hassan.
Besar cabarannya apabila pasukan menghadapi masalah kecederaan dalam kesuntukan masa.
Ada pemain sempat pulih dan ada kemungkinan terdapat pemain yang terpaksa melupakan Piala Dunia.
Jadi, ia adalah platform yang tepat untuk pemain-pemain lain yang diberi kepercayaan untuk step up dan perform. Kejohanan ini juga pentas terbaik bagi persiapan menghadapi Piala Dunia kerana kita menghadapi perlawanan berkualiti dan kompetitif.
Piala Dunia 2023 merupakan kemunculan kali kesembilan skuad negara di pentas tertinggi arena hoki dunia. Pastinya, harapan peminat negara cukup tinggi terhadap Malaysian Tigers. Jadi, apakah sasaran realistik skuad negara pada kejohanan tersebut?
Kami diletakkan di Kumpulan C bersama Belanda, New Zealand dan Chile. Sasaran pertama pasukan adalah untuk berada di kedudukan dua teratas ketika peringkat kumpulan.
Sasaran kami adalah untuk berada di kelompok lapan terbaik pada Piala Dunia 2023. Ketika ini, kita berada di ranking ke-10 terbaik dunia.
Jika pada Piala Dunia nanti kita dapat memperbaiki ranking dunia, ia satu pencapaian besar. Kami menyasarkan untuk mendaki ke tempat keenam dan keempat ranking dunia. Ia mengambil masa dan bukannya satu proses overnight.
Pasukan negara pernah meraih tempat keempat pada Piala Dunia 1975 selepas tewas pada perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat. Adakah skuad negara mampu mengulangi pencapaian tersebut dengan barisan pemain ketika ini?
Seperti yang saya katakan tadi, ia bukan satu proses overnight. Untuk berada dalam bracket enam terbaik ia mengambil masa dan proses panjang.
Saya tidak menafikan pencapaian terbaik negara di Piala Dunia adalah tempat keempat pada 1975 dan kelapan pada 2002.
Ketika itu, hoki dimainkan di atas padang rumput. Kini, ia dimainkan di atas padang tiruan yang telah lama dikuasai oleh pasukan Eropah dan Oceania.
Pakistan dan India pula pada ketika itu adalah raja hoki dunia. Namun selepas itu, mereka juga bergelut. Hanya India sahaja yang berada di kelompok lima pasukan terbaik dunia apabila mereka mengambil keputusan melakukan perubahan kira-kira 10 tahun lalu.
Ketika ini, banyak perubahan yang dilakukan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk mengukuhkan pembangunan akar umbi, pendekatan sains sukan dan teknologi sukan dalam perancangan jangka panjang.
Saya percaya, pada masa depan tidak mustahil kita akan berjaya mencapai kejayaan itu. Apa yang penting, kita harus percaya dengan proses dan penambahbaikan secara berperingkat.
Apabila bertemu pasukan-pasukan dari Eropah, Malaysian Tigers dilihat agak bergelut. Malah, ada ketikanya kalah dengan jaringan besar. Apakah jurang membezakan skuad negara dengan pasukan Eropah?
Kita harus mengakui bahawa ketika ini ada pasukan yang berada di tahap lain seperti Australia, Belgium, Belanda dan Jerman.
Bukan Malaysia sahaja yang selalu kalah dengan jaringan besar, pasukan lain juga pernah ‘dibelasah’ termasuk India tewas 0-7 di final Sukan Komanwel, biarpun berada di kelompok lima terbaik dunia.
Pada final Piala Dunia 2014, Australia berjaya menewaskan Belanda dengan jaringan 6-1.
Apa yang boleh kita usahakan ketika ini adalah untuk merapatkan jurang skuad negara dengan pasukan di kelompok lima terbaik dunia. Dalam masa terdekat, kita mesti menewaskan pasukan New Zealand di ranking ke-9, Sepanyol (8) dan Argentina (7).
Terdapat jurang perbezaan antara skuad negara dengan pasukan-pasukan lain dari beberapa aspek.
Pertama adalah negara-negara di atas kita merupakan club base, sementara kita adalah school base. Semua pemain mereka datang dari kelab. Kedua adalah infrastruktur, contohnya Belanda yang mempunyai lebih kurang 2,000 padang tiruan di seluruh negara.
Ketiga, sains sukan dan teknologi mereka telah lama ke hadapan. Keempat, mereka adalah sporting country yang mempunyai bajet besar untuk hoki. Kelima, pembangunan hoki yang menyeluruh dengan semua kelab di sana mempunyai padang tiruan.
Keenam, pasukan di Eropah mudah untuk mendapat perlawanan-perlawanan berkualiti dengan kos rendah berbanding kita.
Piala Dunia bola sepak yang berlangsung sekarang menyaksikan Australia dan Jepun berjaya mencipta kejutan terhadap pasukan gergasi. Adakah ini menjadi pembakar semangat kepada skuad negara pada Piala Dunia 2023?
Saya sentiasa percaya tiada apa yang mustahil. Ini telah dibuktikan oleh pasukan Australia dan Jepun terutamanya. Apa yang penting, kita perlu mempersiapkan pasukan dari segala aspek seperti taktikal, mental dan fizikal.
Kita juga perlu percaya kepada diri sendiri, kebolehan dan pasukan.
Berikan segalanya ketika perlawanan dan result will come. Argentina juga telah melakukan kejutan pada hoki Sukan Olimpik 2016 di Brazil apabila berjaya memenangi pingat emas menewaskan Belgium di final.
Skuad negara ketika ini dibarisi pemain berpengalaman dan muda. Apakah aspek yang masih boleh dipertingkatkan oleh skuad negara bagi mencipta kejutan pada Piala Dunia 2023?
Ketika ini sudah terlalu hampir dengan Piala Dunia, justeru tumpuan kami adalah untuk memastikan kondisi fizikal dikekalkan dan mental serta emosi pemain berada di tahap terbaik.
Kami juga akan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti ketika Nations Cup. Tidak lupa juga, kami akan memastikan pemain-pemain yang mengalami kecederaan segera pulih dan berada pada tahap terbaik bagi menghadapi Piala Dunia.
Sebelum ini ada pihak mendakwa pencapaian skuad hoki negara ke Piala Dunia tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya seperti sukan-sukan lain. Apa pandangan Datuk mengenai tanggapan ini?
Jika hendak dibandingkan dengan bola sepak dan badminton, ia memang jauh berbeza dari aspek bantuan kewangan.
Kami amat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara yang sentiasa membantu dari segi kewangan untuk program hoki selama ini.
Begitu juga dengan rakan hoki iaitu Tenaga Nasional Berhad, Qnet, Bank Islam dan Active Sports.
Bagi mengekalkan kedudukan ketika ini serta melayakkan diri ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia, pasukan negara memerlukan dana lebih besar. Pada saya, anda perlu melabur untuk mendapatkan hasil yang terbaik.












