fbpx
Operasi "Op Khas Saman Warganegara Asing" dilakukan di Jalan Putra, di sini, bermula pukul 9 malam semalam.

77 saman, 11 kenderaan disita dalam Ops Khas Saman Warga Asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG – Sebanyak 77 keping saman dikeluarkan serta 11 kenderaan berjaya disita oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya dalam operasi “Op Khas Saman Warganegara Asing” dan sekatan jalan raya dilakukan di Jalan Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi yang bermula pukul 9 malam berkenaan adalah bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna kenderaan yang ditunggang dan dipandu oleh warganegara asing.

“Ramai warga asing tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan tidak mempunyai perlindungan insuran.

“Keadaan ini bukan hanya membahayakan diri sendiri malahan, turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, hasil dari operasi tersebut, sebanyak 33 keping saman telah dikeluarkan diatas kesalahan tiada lesen memandu dan 44 keping saman lagi atas pelbagai kesalahan trafik.

Sehubungan itu, sebanyak 11 buah kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk proses panggil pemilik yang sah untuk tindakan selanjutnya.

“BSPT Ampang Jaya akan meneruskan operasi penguatkuasaan sedemikian pada bila-bila masa bagi memastikan pengguna kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR