SETELAH kematian suami tercinta, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Sofea merasakan jiwanya seakan kosong.
Dia menerima ketentuan Ilahi apabila suami tersayang dijemput ke negeri abadi, walaupun mereka baru sempat hidup bersama selama 15 tahun.
Setelah hampir tiga tahun memegang status janda, Sofea berasa dia perlu mencari teman pengganti bagi mengubati kesunyiannya.
“Anak saya telah memilih untuk tinggal di asrama dan kadangkala saya berasa sunyi bersendirian di rumah.
“Jadi, saya mengambil keputusan untuk mencari calon yang sesuai untuk menjadi pengganti suami saya,” katanya yang berusia pertengahan 40-an.
Melalui sosial media, Sofea telah berkenalan dengan seorang lelaki yang sebaya dengannya.
Setelah berkomunikasi dan keluar bersama selama beberapa kali, dia ternyata telah jatuh hati dengan lelaki tersebut.
Kemudian, mereka berdua mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan.
Sofea yang merupakan seorang penjawat awam menjelaskan, suaminya bekerja dalam bidang pembinaan dan menjadi penyelia di tapak projek.
“Saya amat bahagia selepas perkahwinan tersebut. Anak saya juga menerima suami dengan sepenuh hati.
“Suami melayani saya dengan sebaik-baiknya pada peringkat awal perkahwinan kami,” jelasnya.
Bagaimanapun, setelah lebih empat bulan berkahwin, Sofea mendapati suaminya itu sering berhadapan masalah kewangan.
Malah, suaminya telah beberapa kali meminjam wang daripadanya, namun tidak pernah membayar kembali.
“Sekali dua dia pinjam saya tiada masalah, namun apabila terlalu kerap saya dapat rasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“Akhirnya, saya dapat tahu bahawa suami saya ini kaki nombor ekor dan judi. Sebab itu dia sering berhadapan dengan masalah kewangan,” katanya.
Disebabkan itu, mereka berdua sering bergaduh besar sebelum Sofea memberi kata dua kepada suaminya untuk berubah atau berpisah.
Sudah sampai ke tahap itupun, sukar untuk suaminya meninggalkan tabiat itu. Malah, suaminya masih bermain nombor dan berjudi.
Disebabkan itu, Sofea dapat merasakan perkahwinan mereka sudah tidak bahagia dan pertengkaran sering terjadi.
Malah, suaminya itu tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya sebagai seorang suami.
“Semakin lama berkahwin, saya dapat melihat belangnya yang sebenar. Dia bukan sahaja kaki judi, malah turut melanggan pelacur di belakang saya.
“Saya dapat mengetahui hal tersebut setelah melihat perbualan WhatsApp suami bersama teman-temannya,” ulasnya.
Bukan itu sahaja, seutas gelang emas milik Sofea juga telah hilang dalam simpanannya.
Sofea mengesyaki bahawa suaminya telah mencuri gelang tersebut dan menggadainya bagi mendapatkan wang untuk berjudi.
Hal itu telah membuatkan mereka bergaduh besar sehingga menyebabkan Sofea meminta dia dilepaskan dengan cara baik.
“Suami saya menjelaskan, dia sama sekali tidak akan melepaskan saya.
“Dia fikir saya seorang wanita lemah yang akan membiarkan diri diperlakukan dengan sedemikian rupa olehnya.
“Kemudian, saya mengemukakan permohonan cerai fasakh daripadanya di mahkamah syariah,” jelasnya.
Pada mulanya, suaminya marah apabila Sofea berbuat demikian dan cuba mengugutnya.
Bagaimanapun, hasil bantuan abang-abangnya, Sofea terselamat daripada ugutan diberikan oleh suaminya.
Akhirnya, mereka berdua sah berpisah di sebuah mahkamah syariah yang terletak di utara Semenanjung Malaysia.
Sofea berasa cukup lega akhirnya dapat berpisah dengan suaminya itu.
















