fbpx

Kepuasan buru baung kuning

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD SAIFUDIN pernah mendaratkan ikan baung kuning seberat 2.5 kilogram di Sungai Langat, Selangor

IKAN baung sememangnya amat popular dalam kalangan masyarakat di Johor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Selain digoreng panas, ikan sungai itu juga kerap dijadikan hidangan sama ada masak lemak cili api, asam pedas, tempoyak mahupun pais.

Disebabkan permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat ikan baung, ia telah mendorong Muhamad Saifudin Gahnehman, 37, untuk memburu spesies ikan itu.

Dia yang bertugas sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur berkata, kebiasaannya dia akan menghabiskan cuti hujung minggu untuk memburu ikan baung khususnya baung kuning yang banyak mendiami Sungai Langat, Selangor.

“Memancing ini sudah menjadi hobi memandangkan saya memang dibesarkan dengan aktiviti seperti ini ketika berada di kampung.

“Jadi, ia bukan satu masalah kepada saya untuk meredah semak samun dan bergelumang dengan kotor semata-mata untuk melunaskan hobi ini.

“Malah, saya tidak menyangka hobi memancing ini memberi pendapatan tambahan kepada saya apabila ramai yang ingin membeli ikan baung setiap kali pulang memancing,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai ikan baung, Muhamad Saifudin yang berasal dari Segamat, Johor berkata, dia akan pergi ke beberapa ‘port’ yang digemarinya di sekitar kawasan Jenderam, Kajang dan Semenyih.

Jelasnya lagi, bagi memburu ikan baung, dia menggunakan umpan hati ayam sama ada yang segar atau telah diperam semalaman.

“Walaupun ramai kaki pancing menggunakan umpan tapa, tetapi saya lebih gemar menggunakan hati ayam kerana kosnya lebih murah dan senang untuk diperolehi.

“Biasanya, saya akan peram dulu hati ayam berkenaan semalaman agar ia sedikit berbau. Ini kerana ikan baung lebih tertarik kepada umpan yang berbau tetapi tidak terlalu busuk.

“Untuk memancing ikan baung, saya kerap menggunakan teknik bottom iaitu menenggelamkan umpan hingga ke dasar sungai,” katanya.

IKAN baung kuning sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemarnya.

Ujarnya lagi, kebanyakan ikan baung kuning di Sungai Langat bersaiz sederhana iaitu sekitar satu kilogram (kg) hingga 2kg.

Katanya, disebabkan itu, saiz mata kail yang digunakan juga adalah sederhana antara 15 hingga 17 sahaja.

Dia memaklumkan, mata kail tersebut akan dipadankan dengan tali perambut dan tali utama bersaiz 30 paun agar mampu menahan daya lawan ikan baung yang agak kuat.

Menurut Muhamad Saifudin lagi, waktu paling sesuai untuk memburu ikan baung adalah ketika arus sungai agak deras dengan air yang sedikit keruh.

Antara ‘port’ yang kerap dituju pula adalah kawasan tebing sungai berteluk, selain dipenuhi dengan ranting-ranting kayu.

Katanya, kawasan tebing dan beranting kayu merupakan kawasan mainan ikan dan kerap menjadi lubuk pelbagai spesies akuatik sungai terutamanya baung.

“Saya suka memburu ikan baung disebabkan daya tarikannya selepas membaham umpan. Ikan baung ini sangat terkenal dengan kekuatannya melawan tarikan.

“Tambahan pula, ikan ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar ikan baung. Jadi, ia juga boleh dijadikan pendapatan tambahan,” katanya.

Jelasnya lagi, sejak menjadikan Sungai Langat sebagai tempat memburu ikan baung, dia jarang pulang dengan tangan kosong.

Katanya, dia pernah memperoleh sehingga 20 ekor ikan baung hanya dalam tempoh beberapa jam memancing di sungai tersebut.

Ceritanya, ikan baung terbesar yang pernah diperoleh adalah seberat 2.5kg.

“Sekarang ini ramai yang menghubungi saya bertanyakan tentang stok baung terutama yang gemar dengan hidangan ikan sungai ini.

“Jika ada permintaan daripada pelanggan, saya akan menjual ikan ini pada harga antara RM25 hingga RM30 seekor bergantung kepada saiz,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN