fbpx
SEBAGAI SUV dalam kategori kompak, GLB200 boleh dikatakan bersaiz agak besar.

Enjin GLB 200 kecil tapi miliki banyak kelebihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CIRI praktikal sesebuah kenderaan itu merupakan antara faktor utama yang dipertimbangkan pengguna dalam memilih kenderaan untuk dibeli.
Tawaran yang baik seperti ruang yang besar, lebih tempat duduk penumpang, penjimatan bahan api dan kapasiti enjin yang kecil tetapi berprestasi hebat mungkin akan menarik perhatian pembeli.

Pakej yang ditawarkan tadi jadi lebih menarik apabila ia ditawarkan daripada jenama mewah seperti Mercedes Benz.

Baru-baru ini penulis berpeluang memandu uji salah sebuah model kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama berkenaan yang hadir bersama ciri-ciri di atas.

Model itu ialah GLB200. SUV ini mempunyai tujuh tempat duduk dan menggunakan enjin berkapasiti 1.3 liter turbo dengan menawarkan transmisi automatik tujuh kelajuan.

Kapasiti enjin yang kecil itu menjadikan cukai jalannya pun murah.

Walaupun boleh dikatakan hanya menggunakan kapasiti enjin yang kecil tetapi ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 163PS dan tork 250Nm.

Enjin tersebut juga membolehkan SUV itu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 9.1 saat. Kagum penulis kerana biarpun saiz enjinnya kecil, namun GLB200 masih mampu memberikan kuasa yang mencukupi di samping saiz kenderaannya besar bagi sebuah kenderaan dalam kategori kompak.

Panjang SUV ini mencecah 4,634 milimeter (mm), lebar (1,834 mm), tinggi (1,663 mm) dan jarak antara roda (2,829 mm). Dari segi saiz, SUV ini tampak menampilkan praktikalitinya.

GLB200 menggunakan lampu utama jenis LED High Performance dan landasan bumbung aluminium sebagai standard selain menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci.

Sekadar makluman, GLB200 merupakan varian paling rendah untuk model GLB yang ditawarkan oleh Mercedes Benz Malaysia.

Masuk ke ruang kabin, SUV ini turut dilengkapi dengan Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Sistem itu hadir dengan dua skrin berukuran tujuh inci berfungsi sebagai panel meter dan sistem infotainment dengan skrin sentuh.

SUV sepanjang 4,634mm ini turut didatangkan dengan landasan bumbung aluminium.

Ciri-ciri itu turut hadir bersama stereng yang dilengkapi butang kawalan di kiri dan kanan, port USB (Jenis C), sambungan Bluetooth untuk telefon pintar dan audio.

Selain itu, ciri seperti Active Parking Assist dengan PARKTRONIC pula merupakan teknologi bantuan pemandu untuk memarkir kenderaan.

Sistem tersebut berfungsi dengan menggunakan pelbagai sensor canggih di bampar untuk menentukan kenderaan berkenaan dapat masuk ke ruang parkir tertentu.

Model ini turut dilengkapi kamera undur, bantuan brek aktif, Keyless Go, sistem peninjau tekanan tayar dan pintu ruangan belakang Easy Pack.

Kesimpulannya, model ini ditawarkan pada harga yang setanding dengan apa yang ditawarkan dengan kelebihan adalah dari sudut praktikaliti.

Cuma, sejujurnya tempat duduk barisan ketiganya kurang selesa untuk saya yang berketinggian 178 sentimeter terutamanya untuk perjalanan jauh. Namun, untuk kanak-kanak atau orang yang lebih kecil mungkin selesa.

Sekiranya balik kampung dan perlu ruang yang lebih luas tempat duduk barisan ketiga boleh direbahkan. Masih tidak cukup, anda boleh rebahkan tempat duduk barisan kedua pula.

Komen saya tentang nadi SUV ini, bagi saya sudah memadai dan tidak terasa under power walaupun enjin ini tidak besar untuk membawa kenderaan sepanjang 4,634mm.

Malah, kalau sekadar untuk mencapai kelajuan 160km/j itu bukan perkara sukar sebagai sebuah kenderaan yang umumnya untuk membawa keluarga bukan untuk berlumba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN