MANJUNG – Bekalan telur ayam dijangka kekal berkurangan dan sukar diperoleh dalam pasaran tempatan sehingga tahun depan.
Jurucakap salah sebuah syarikat penternak ayam telur di Manjung berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pengeluaran komoditi itu tidak dapat ditingkatkan.
Salah satu daripada faktor itu, menurutnya, adalah kos operasi yang tinggi bagi mengusahakan perniagaan berkenaan, namun pulangan diterima adalah rendah.
Katanya, antara kos terlibat dalam operasi tersebut ialah harga bahan mentah bagi makanan ayam seperti jagung iaitu salah satu komponen dedak.
“Syarikat kami membeli jagung dari luar negara iaitu Argentina dan Brazil dengan kos bagi setiap kilogram (kg) jagung adalah RM1.80 per kg.
“Setiap bulan, kami memerlukan kira-kira 500 tan jagung bagi penghasilan dedak ayam. Itu tidak termasuk bahan-bahan lain seperti susu bagi ternakan berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Pada masa sama, jurucakap itu berkata, dia berharap mata wang negara kembali kukuh kerana segala pembelian tersebut dilakukan dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS$).

Dalam pada itu, ujarnya, syarikatnya mula mengurangkan jumlah ayam telur di ladang sejak Mac lalu akibat kos operasi yang tinggi.
Katanya, ia menyebabkan syarikatnya hanya mengeluarkan kira-kira 230,000 berbanding 270,000 biji telur sehari dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga tahun depan.
“Buat masa ini, hanya itu jumlah telur yang boleh dihasilkan kerana untuk menambah jumlah ayam telur bukan murah. Pembinaan reban bagi 40,000 ekor ayam sahaja kosnya mencecah RM1.5 juta.
“Itu pun tidak termasuk lain-lain kos operasi reban ayam baharu tersebut,” katanya.
Menurutnya, seekor ayam telur memakan masa 20 minggu dari saat ia menetas untuk dibesarkan sebelum mampu bertelur bagi 60 minggu berikutnya.
“Seekor ayam mampu bertelur sekitar 350 biji telur dalam tempoh 60 minggu berkenaan. Kami perlu menguruskan haiwan itu selagi ia berkemampuan bertelur.
“Selepas itu, kami akan menjualnya sebagai ayam tua, namun jika permintaan terhadap telur tinggi, haiwan itu akan disimpan selagi masih boleh bertelur. Kemudiannya baharulah ia dijual,” katanya.














