fbpx

Piala Dunia: Rashford buat England ceria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RASHFORD membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak dua gol ketika membantu England membenam Wales awal pagi semalam. – AFP

AL RAYYAN – Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate meng­akui sangat kagum dengan persembahan yang dipamerkan oleh penyerangnya, Marcus Rashford selepas meledak dua gol untuk membantu England menewaskan Wales 3-0 awal pagi semalam.

Dua gol Rashford yang membantu kemenangan tersebut membolehkan England me­nempah slot pusingan 16 pasukan terbaik sebagai juara kumpulan dengan meraih tujuh mata menerusi aksi tanpa kalah setelah mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Rashford membuka tirai jari­ngan menerusi sepakan percuma menarik yang menerjah gawang pada aksi di Stadium Ahmad Ali sebelum giliran Phil Foden me­lebarkan kedudukan dan pemain Manchester United itu menutup malam sempurna buat England dengan gol ketiga.

“Saya kehilangan seorang rakan beberapa hari lalu. Dia bertarung dengan kanser untuk tempoh yang agak lama. Saya gembira dapat menjaringkan gol untuk dihadiahkan kepadanya, dia adalah penyokong kuat dan rakan baik saya,” kata Rashford.

Rashford sebelum ini hebat dikecam oleh para peminat fanatik England selepas kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi final menentang Itali pada saingan Euro 2020 menyebabkan prestasinya merosot teruk bersama United dan hampir dijual.

Bagaimanapun, kehadiran Erik Ten Hag mengubah persepsi Rashford terhadap bola sepak apabila dia kembali bersemangat dan menemui sentuhannya yang hilang sebelum ini untuk muncul semula sebagai tonggak United sekali gus membolehkannya di­pilih menyertai England ke Piala Dunia kali ini.

“Ia adalah cabaran besar untuknya. Saya pergi berjumpanya pada musim panas lalu dan kami bersembang panjang.

“Dia mempu­nyai impian yang jelas mengenai apa yang diinginkan. Anda boleh lihat prestasinya di kelab yang menggembirakan.

“Dalam sesi latihan England, anda boleh saksikan sendiri. Kami memiliki pemain yang berbeza berbanding ketika di Euro lalu,” kata Southgate.

Kejayaan itu menyaksikan England bakal membuat perhitungan dengan Senegal bagi me­rebut tempat ke suku akhir pada perlawanan awal pagi Isnin nanti.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI