fbpx
SEORANG lelaki melewati beberapa orang lelaki gelandangan yang menjadikan bangku di ruang menunggu teksi sebagai tempat tidur mereka. -GAMBAR HIASAN

Dapat bantuan pun masih maki sukarelawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dimarah sebab makanan tidak sedap atau lambat sampai antara pengalaman dilalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang me­nyantuni gelandangan termasuk menyediakan makanan buat golongan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, ada juga gelandangan yang bertindak di luar batasan dengan mengherdik dan memaki sukarelawan yang bertugas dengan kata-kata kesat ketika agihan makanan dilakukan.

Bagaimanapun, rata-rata wakil NGO memaklumkan, tidak semua gelandangan berperangai sebegitu dan hanya melibatkan segelintir individu.

Pengurus Besar Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah, Mohd. Khairul Azman Md. Daud berkata, pihaknya pernah melalui pengalaman tersebut sewaktu mula-mula terlibat dengan kerja-kerja amal untuk mengagihkan makanan kepada gelandangan.

“Kami membuka Warung Makan Sahabat di Chow Kit, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu iaitu ketika pandemik Covid-19. Pada peringkat awal, memang ada segelintir yang suka marah-marah dan buat bising.

“Disebabkan perlu menjaga jarak, kita minta mereka beratur, namun ada pula tidak puas hati,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, selain itu, ada juga yang suka mengeluarkan kata-kata kesat dan perbuatan itu dilakukan bukan hanya dilakukan oleh gelandangan lelaki, tetapi juga gelandangan wanita.

“Mereka marah-marah dan suka memekik kerana mungkin kepala tengah pusing (penagih). Kita faham di Chow Kit ini, gelandangan datangnya dari pelbagai latar belakang dan ada yang melacur, mualaf, penagih dadah. Malah, ada juga yang tinggal bersekedudukan tanpa nikah.

“Jika berdepan dengan situasi sebegini, kami tidak punya pilihan lain melayan karenah mereka. Itu pengalaman ketika awal-awal dahulu dan sekarang ramai yang berubah,” ujarnya yang turut membuka kelas pengajian agama kepada gelandangan.

GELANDANGAN terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ada yang menjadi pelacur, penagih dadah dan mualaf. – GAMBAR HIASAN

Wakil We Care Dapur Asnaf, Haliza Abdul Halim pula berkata, ada segelintir gelandangan yang suka meluahkan rasa tidak puas hati hanya kerana mendakwa makanan yang diberikan tidak sedap.

“Antara kawasan yang kami santuni termasuklah di kawasan sekitar tepi sungai dari Pasar Seni hingga Cahaya Suria.

“Apabila mereka kata tidak sedap, kita pastikan orang yang memasak itu ada kualiti atau kita hentikan tempahan. Kami hanya akan beri makanan yang sesuai dan sedap kerana status mereka sebagai asnaf,” katanya yang te­lah menjalankan kerja-kerja amal selama 22 tahun.

Katanya lagi, gelandangan ini mempunyai pelbagai sikap dan amat penting untuk menghormati mereka.

“Kalau kita hormat, mereka juga akan hormat kita. Tidak perlu ambil peduli sangat dengan sikap-sikap tersebut kerana semua orang tidak sempurna,” ujarnya.

Sementara itu, Marfika Adnan Haris Fadzilah, 31, yang sering melakukan kerja amal membantu gelandangan mengakui hanya segelintir kecil golongan itu yang disifatkan tidak bersyukur dengan pemberian makanan.

“Kadang nampak mereka se­perti tidak bersyukur. Orang beri makan, dikatakan tidak sedap, namun ia hanya melibatkan jumlah kecil,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN