MENGIMBAU kembali kenangan ketika mengambil diploma dalam bidang fotografi dan pengimejan kreatif di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Lendu, Melaka, Siti Norfatulhana Ishak menjelaskan, dia sempat merasai pengalaman berada dalam dark room atau bilik gelap.
Dia yang mesra disapa dengan nama panggilan Hana itu berkata, bilik gelap merupakan satu ruang untuk mereka yang terlibat dalam bidang fotografi memproses filem dan mencetak gambar.
“Dahulu kami sebagai pelajar harus mengetahui proses ini kerana ia adalah salah satu subjek yang wajib diambil.
“Kini, pelajar yang mengambil bidang ini sudah tidak dapat merasai pengalaman sebegini kerana arus perkembangan fotografi digital,” jelas Hana yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan Fotomedia Kreatif di UiTM Puncak Alam, Selangor.
Dia memaklumkan, bagi mengimbau nostalgia dan memberikan pengalaman kepada pelajar, Hana serta rakan pensyarah yang lain telah mengembalikan operasi bilik gelap di kampus berkenaan.
“Salah satu sebab saya ingin mewujudkan kembali bilik gelap ini adalah pengkhususan seni. Apabila kita bercakap tentang memproses filem kebanyakan pelajar tidak tahu.
“Dengan adanya bilik gelap ini, kami dapat berkongsi pengalaman yang pernah dirasai bersama para pelajar,” terangnya.
Bagi membolehkan bilik gelap itu kembali beroperasi, Hana dan rakan-rakannya telah menyelongkar stor dan mencari bahan-bahan yang diperlukan untuk memproses filem dan mencetak gambar di kampus.
Ternyata, semua bahan yang mereka jumpa seperti bahan kimia memproses filem dan filem gambar telah tamat tarikh luputnya lebih 20 tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka tetap mencuba dan ternyata ia masih boleh digunakan.
Menurut Hana, langkah pertama yang mereka ambil adalah dengan mengatur ruangan bilik gelap serta bahan utama diperlukan.
Malah, nota-nota lama dibawa keluar semula bagi mendapatkan rumusan formula bancuhan kimia.
“Untuk proses mencuci filem, ada dua bahan utama yang diperlukan iaitu Developer Kodak Professional D 76 dan Kodak fixer.
“Setiap bahan mentah perlu disukat suhu, isipadu dan masa yang tepat bagi mengelakkan kerosakan pada filem.
“Aspek keselamatan juga harus diutamakan dengan memastikan sarung tangan dan apron digunakan sepanjang proses ini. Ia bagi mengelakkan bahan kimia terkena pada kulit serta anggota tubuh lain,” katanya.

Tambahnya, setelah semua bahan siap dibancuh, filem akan dikeluarkan dari cartridge dan dimasukkan ke dalam tangki filem.
Ketika proses tersebut dijalankan, keadaan bilik haruslah gelap keseluruhannya dan filem tidak boleh terdedah kepada cahaya.
Proses berkenaan mengambil masa sekitar tiga hingga lima minit sebelum lampu keselamatan dibuka.
Kemudian, cecair developer akan dimasukkan dalam tangki filem disusuli proses stop bath iaitu campuran fixer dan running water.
Keseluruhan proses mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum gulungan filem dikeluarkan perlahan-lahan dari tangki filem dan gambar boleh dicetak.
Dalam pada itu, koordinator bagi fotomedia kreatif di UiTM Puncak Alam, Andrialis Abdul Rahman berkata, cetakan gambar dalam bilik gelap mempunyai nilai tersendiri seperti ciri-ciri ketahanan warna yang bermutu dan lebih asli.
Menurutnya, bagi mendapatkan kualiti terbaik, mereka perlu meneliti sukatan bahan kimia yang digunakan agar hasil cetakan menepati ciri-ciri yang dikehendaki.
“Kiraan ini bukan bermula dalam bilik gelap, sebaliknya ia berkait rapat ketika rakaman gambar dilakukan. Di sini, kami menggunakan kamera single lens reflex (SLR).
“Kami perlu mempelajari semula kiraan secara manual termasuk meneliti jenis ASA/ISO bersesuaian. Antaranya adalah kiraan kelajuan cahaya dan bukaan kanta kamera,” katanya.
Tambahnya, setelah gambar dirakam, filem akan diproses di dalam bilik gelap.
Sementara itu, Andrialis menjelaskan, mereka menggunakan peralatan enlarger yang berfungsi sebagai medium expose filem pada kertas cetak.
Jelasnya, kiraan nilai cahaya pada kamera akan digunakan semula untuk fungsi ketika membuat cetakan.
“Tetapi dalam keadaan kertas dan bahan kimia sudah tamat tempoh, kami perlu membuat beberapa eksperimen yang disebut sebagai teknik test print untuk menghasilkan gambar yang sama dengan kiraan cahaya berbeza.
“Teknik ini bertujuan memberikan pilihan bagi kualiti terbaik dalam cetakan gambar hitam putih,” terangnya.
Ketika proses tersebut berlaku, ia mengingatkan Andrialis tentang prinsip zone system yang diperkenalkan oleh Ansel Adam.
Ujarnya, tujuh kiraan zone system itu digunakan semula untuk melihat terang gelap gambar yang sesuai bagi cetakan terakhir.
Frame atau thumbnail yang dipilih akan dibesarkan untuk gambar cetakan akhir. Cetakan gambar berkenaan menggunakan kiraan bukaan masa mengikuti nilai kelajuan yang disebut per/sec.
Semua kiraan tersebut dibuat di bawah penggunaan lampu merah atau safety light.
“Saat yang sering dinantikan dan menjadi debaran adalah apabila gambar cetakan dimasukkan ke dalam cecair developer.
“Ia mengambil masa antara 10 hingga 30 saat untuk melihat hasil gambar yang keluar pada kertas yang mulanya kosong.
“Sememangnya, perasaan gembira apabila kami dapat melihat hasil gambar yang muncul di atas kertas,” kata Andrialis.














