fbpx

Kelantan ditadbir Pas selamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pas akan selamanya memerintah Kelantan kerana pengundi masih mahukan mereka mengemudi kerajaan negeri.
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan lima kerusi Parlimen yang dimenangi mereka di Kelantan apabila Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 14 kerusi di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Keadaan itu menyebabkan, empat kerusi iaitu Machang, Ta­nah Merah, Jeli, Gua Musang dan Ketereh yang menjadi kubu kuat kepada BN di Kelantan terlepas kepada PN yang menggunakan logo Pas pada PRU15 yang lalu.

Kerusi Gua Musang misalnya yang ditandingi veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tewas dengan hanya 163 undi majoriti kepada Mohd. Azizi Abu Naim sekali gus gagal mempertahankan Parlimen tersebut selepas 55 tahun.

Keadaan lebih mengejutkan apabila Parlimen Ketereh yang merupakan kerusi tradisi BN di Kelantan terlepas kepada calon PN, Mejar Jeneral (B), Datuk ­Khlir Mohd. Nor selepas keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan calon baharu, Marzuani Ardilla Arifin bagi menggantikan Tan Sri Annuar Musa.

Meskipun Kelantan didominasi oleh penyokong Pas, lima kerusi yang berjaya dirampas PN daripada BN menunjukkan bahawa tiada apa yang mustahil berlaku dalam arena politik negara.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd. Muis berkata, kajian sebelum PRU15 menunjukkan hanya dua kerusi akan terlepas kepada PN iaitu Jeli dan Tanah Merah.

Katanya, kemenangan PN secara total di Kelantan adalah di­sebabkan oleh pengundi baharu dan muda membuat hayunan dan protes terhadap BN.

“Kelantan dan Terengganu dikategorikan sebagai negeri Tradisional Progresif Melayu apabila lebih 90 peratus penduduk Bumiputera.

“Faktor terbesar PN berjaya mendominasi semua kerusi di Kelantan adalah kebanyakan penyokong BN sendiri yang membuat undi protes terhadap ‘warlord’ yang berada di peringkat pimpinan UMNO.

“Masyarakat di Kelantan tidak akan mengundi PH untuk menyatakan protes mereka dan memi­lih PN sebagai alternatif lain yang dilihat mampu menjaga agama, bangsa dan tanah air sama se­perti perjuangan UMNO,” kata­nya.

Menurut Mujibu, selain itu, BN juga membuat talaan kurang tepat apabila menggantikan calon di kawasan yang sepatutnya boleh menang kepada muka baharu.

Katanya, mengambil contoh di Parlimen Ketereh, Annuar yang sudah terkenal dengan kredibiliti sebagai wakil rakyat tidak sepatutnya diganti kerana kawasan itu merupakan kubu kuat BN.

Ujarnya, keadaan di Kelantan boleh diibaratkan seperti tsunami pengundi Melayu.

“Kita dapat lihat tsunami pe­ngundi Cina pada PRU12 pada 2008 apabila mereka dilihat tidak kembali mengundi BN sehingga ke PRU15.

“Di Kelantan pengundi Melayu tidak mahu lagi mengundi BN. Ia ibarat tsunami.

“Bagaimanapun, pengundi Melayu dan penyokong UMNO di Kelantan akan kembali kepada BN kerana UMNO merupakan sebuah parti yang besar dan sekiranya rekalibrasi dilakukan terutamanya di peringkat pimpinan, penyokong akan membuat hayunan semula kepada mereka,” katanya.

Mujibu memberitahu, berdasarkan kajiannya, masyarakat Melayu mahu melihat politik yang lebih ke arah demokrasi secara bersih, tadbir urus dan tata kelola yang baik.

Katanya, jika Pas bersama Bersatu terus kekal sebagai PN, ia menyukarkan BN untuk me­rampas semula empat kerusi pada pilihan raya akan datang.

Ia kerana Pas sudah ‘pegang’ Kelantan lebih 30 tahun dan tahu lenggok pengundi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI