fbpx

Hotel popular dalam kalangan menteri diserang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hotel Villa Rose yang diserang kumpulan Al-Shabab terletak berdekatan dengan Istana Presiden Somalia di Mogadishu pada Ahad. - AFP

MOGADISHU – Sebuah hotel di Mogadishu yang terkenal sebagai tempat menteri-menteri kerajaan Somalia menginap dan terletak berdekatan Istana Presiden Somalia diserang oleh kumpulan militan Al-Shabab kelmarin, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Menteri Alam Sekitar, Adam Aw Hirsi menyatakan bahawa  beliau terselamat dalam serangan di Hotel Villa Rose itu, namun terdapat laporan yang masih belum disahkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Mohamed Ahmed cedera dalam kejadian itu.

Adam menulis di Twitter bagi memberitahu bahawa beliau selamat selepas anggota-anggota militan menyasarkan bilik penginapannya di hotel tersebut, manakala bilangan penyerang yang bersenjatakan bahan letupan dan senjata api itu masih belum diketahui.

Seorang saksi, Ahmed Abdullahi yang tinggal di sebuah rumah berhampiran lokasi  kejadian mengaku  mendengar bunyi letupan kuat diikuti berdas-das tembakan dilepaskan yang menyebabkannya berasa terkejut.  

Beberapa pegawai kerajaan turut diselamatkan dari hotel tersebut selepas mereka menggunakan tingkap untuk melarikan diri, kata seorang pegawai polis, Mohammed Abdi.

Kumpulan militan Al-Shabab yang aktif di Somalia sejak lebih 15 tahun lalu berkata, anggota-anggotanya telah menyerbu hotel di tengah Mogadishu itu.

Pada Ogos lalu, tiga bulan selepas memegang jawatan Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud berikrar melancarkan perang terhadap kumpulan militan  itu berikutan serangan ke atas sebuah lagi hotel popular di Mogadishu yang mengakibatkan lebih 20 orang terkorban.

Dua bulan kemudian, dua letupan bom kereta yang berlaku berhampiran dengan sebuah kawasan persimpangan di Mogadishu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 100 orang terkorban dan kumpulan Al-Shabab mendakwa bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.

Hassan kemudiannya menggerakkan tentera Somalia dan militia yang disokong kerajaan dalam usaha untuk mengambil semula kampung dan bandar daripada  kumpulan militan tersebut yang mengawal sebahagian besar negara itu. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI