fbpx

Berdosa harap sedekah jika mampu bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANTUAN dan sedekah yang tidak putus-putus menyebabkan golongan gelandangan digelar ‘Mat Berat’ tidak mahu untuk berhijrah dari kepompong kehidupan asal. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – “Tidak halal untuk seorang Muslim hanya menggantungkan dirinya kepada sedekah orang, sedangkan dia masih mampu berusaha meme­nuhi kepentingan diri sendiri dan keluarga serta tanggungannya.”

Demikian ulasan penceramah bebas, Da’i Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah selepas ditanya mengenai hukum seseorang yang cukup sifat dan kudrat, namun memilih untuk tidak bekerja serta bergantung kepada sumber bantuan.

Menurut Nurul Syafiqah, setiap individu yang mempunyai kemampuan dan keupayaan daripada segi fizikal dan mental adalah dituntut supaya bekerja.

“Islam amat memuji pekerja yang mahir lagi profesional, sebaliknya menegah manusia daripada sifat malas dan meminta-minta.

“Bekerja boleh menjadi ibadah yang terbaik kerana ia juga merupakan sunah Nabi,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Nurul Syafiqah memberitahu, dari segi hukum, malas adalah berdosa kerana apabila seseorang itu mempunyai sifat tersebut, dia enggan berusaha untuk melakukan sebarang perkara atau pekerjaan termasuklah bagi meneruskan hidup.

“Misalnya, malas bekerja. Bagaimana untuk dia dapatkan rezeki dalam menyara hidup dan memberi keluarganya makan?

“Lebih-lebih lagi jika sifat malas itu membuatkan seseorang itu hanya menunggu bantuan dan pertolongan daripada orang lain tanpa dia sendiri berusaha mencari kerja atau rezeki,” jelasnya.

Sehubungan itu, tambahnya, bagi menghilangkan sifat malas, seseorang itu perlu mempunyai cita-cita dan semangat belajar.

“Oleh sebab itulah kita dianjurkan untuk membaca doa menghindari diri daripada bersifat demikian,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan golongan gelandangan di ibu negara dilihat memilih jalan mudah apabila enggan bekerja selepas menerima pelbagai bantuan secara percuma termasuk tempat tinggal, makanan dan pakaian.

Tidak hanya mengharapkan bantuan berupa makanan dan pakaian, golongan ini yang kebanyakannya merupakan gelanda­ngan turut mendapat ihsan daripada agensi kerajaan bagi urusan seperti bayaran sewaan rumah dan bil elektrik serta air.

Situasi itu menyebabkan jumlah golongan ini yang digelar sebagai ‘Mat Berat’ dalam kala­ngan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semakin bertambah terutama di sekitar ibu negara.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ar Riqab Kuala Lumpur, Nor Akmar Ali berkata, kemudahan tempat berteduh dan makanan yang disediakan setiap hari menyebabkan mereka ‘berat’ untuk berhijrah dari ‘kepompong’ kehidupan asal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI