fbpx

Bakal menteri perlu hormati proses kerjasama dengan penjawat awam – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
kapsyen - Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga JPM di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Barisan menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dilantik kelak diingatkan agar menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam dalam usaha pemulihan negara.

Anwar berkata, beliau sebelum ini berpeluang untuk berkhidmat di banyak kementerian, dan telah memperoleh pelbagai manfaat antaranya mendengar pandangan daripada pegawai-pegawai penjawat awam yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengkhususan mereka.

“Kalaupun saya membuat apa-apa cadangan balas atau teguran, hanya selepas saya menghadam apa yang telah berlaku berdasarkan pengalaman mereka kerana kepintaran kita, kecekalan kita dan minat kita tidak akan sama jika dibandingkan dengan pengalaman.

“Sebab itu saya akan nasihatkan juga rakan-rakan yang akan dipilih sebagai menteri kelak, Insya-Allah dalam masa singkat ini untuk menghormati proses itu (kerjasama penjawat awam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Tambah Anwar, beliau turut memberi jaminan bahawa sistem tunggak perkhidmatan itu adalah bersifat kekal namun dengan maksud untuk selalu mengangkat martabat insan serta perkhidmatan.

“Dalam sejarah sesebuah negara, kerajaan akan silih berganti, begitu juga dengan Perdana Menteri namun penjawat awam sebagai tunggak mentadbir dan mengurus itu adalah kekal dengan maksud mengangkat satu sistem dengan peraturan, negara yang tegak dengan hukum.

“Kebetulan saya juga ada pengalaman dahulu dan ramai yang buat andaian mengatakan saya Menteri Kewangan yang berjaya namun ingin saya jelaskan dengan rasa tanggungjawab dan tawaduk tidak mungkin seorang insan sebagai menteri mencatat apa-apa kejayaan tanpa tunggak perkhidmatan yang membantunya,” ujar beliau.

Anwar berkata, para penjawat awam bagaimanapun tidak boleh mengandaikan keadaan masih seperti biasa dan harus bersama-sama bertekad membuat perubahan.

“Keadaan mesti berubah dan perubahan itu daripada pimpinan di mana pimpinan penjawat awam, kementerian dan jabatan harus memberikan kerjasama supaya saya tidak perlu terlalu runsing menghadapi masalah-masalah dalam kalangan penjawat awam,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI