fbpx

Ajal rempuh kereta buat pusingan U di garisan berkembar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas merempuh sebuah kereta di Kilometer 18.5, Jalan Melawi - Kuala Besut, Pasir Puteh hari ini. FOTO TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Seorang pemandu jengkaut maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U di garisan berkembar di Kilometer 18.5, Jalan Melawi – Kuala Besut berhampiran sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.14 pagi itu, mangsa, Shaiful Harbi Yusuff, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami pendarahan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun sedang dalam perjalanan dari Tok Bali ke Pachakan di sini.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai telah memberi isyarat untuk membuat pusingan U dengan membelok ke kanan.

“Pada masa sama, motosikal jenis Y150ZR yang ditunggang mangsa berada di arah sama telah merempuh sisi kanan bahagian pintu pemandu kereta tersebut.

“Insiden itu menyebabkan Shaiful Harbi terjatuh di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaizul Rizal berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada kereta jenis Perodua Myvi yang membuat pusingan U di laluan garisan berkembar sebelum dirempuh motosikal mangsa.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI