fbpx
10 sekeluarga berjaya diselamatkan selepas terperangkap akibat fenomena kepala air di Air Terjun Sungai Pinang, Batang Kali di sini, petang tadi

[VIDEO] 10 sekeluarga terperangkap akibat kepala air selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR – Seramai enam kanak-kanak dan empat orang dewasa berdepan detik cemas apabila terperangkap akibat fenomena kepala air di Air Terjun Sungai Pinang, Batang Kali di sini, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan penyelamat dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Kubu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebuah jentera bersama tujuh anggota serta pegawai ditugaskan menjalankan operasi menyelamat 10 sekeluarga berkenaan.

“Laporan awal mendapati, mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki, dua kanak-kanak perempuan dan dua lelaki serta dua wanita dewasa terperangkap di seberang sungai.

“Kesemua mangsa dipercayai satu keluarga yang berasal dari Sungai Buloh itu terperangkap ekoran fenomena kepala air yang mengalir dari hulu sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, menurut Norazam, kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada pukul 8.21 malam dan mereka berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Mangsa terlibat adalah Jamali Hamzah, 63; Mohd Shahdan, 37;Siti Hajarul Aswa,37; Sameer Imran,11; Fateh Aryan, 9; Zahra Safiyya,7; Siti Zulaikha, 25; Amirul Ashraf, 9;Qalisya Damia, 7 dan Hafiz Ramadhan berusia enam tahun.

“Keluarga tersebut telah pulang ke rumah mereka di Sungai Buloh dan tidak memerlukan sebarang rawatan di hospital,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

POPULAR