fbpx
Anwar (kiri) menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.

GRS belum serah nama calon Kabinet – Hajiji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum menyerahkan nama Ahli Parlimen mereka untuk mengisi Kabinet kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disahkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui pemberita sejurus mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, petang tadi.

Menerusi pertemuan yang berlangsung selama 45 minit itu, Hajiji berkata, pertemuan hari ini adalah bagi menyatakan sokongan Kerajaan Negeri Sabah dan GRS kepada Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pihaknya tidak berbincang mengenai agihan jawatan menteri sebaliknya hanya menyatakan sokongan.

“Pada pertemuan tadi, kita tidak menghantar apa-apa nama untuk dicadangkan sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Ketika pertemuan itu, beliau (Anwar) mengalu-alukan dan amat menghargai sokongan diberikan kerajaan negeri dan GRS kepadanya.

“Saya berterima kasih kerana berpeluang berjumpa dengan Perdana Menteri hari ini,” katanya.

Ditanya sama ada kunjungannya hari ini ada membawa apa-apa tuntutan dari Sabah, Hajiji berkata, buat masa ini, tiada apa-apa.

“Saya ingat sekarang ini bukan masanya. Kita sokong dulu,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, GRS memenangi enam kerusi Parlimen di Sabah, manakala rakan kerjasamanya di negeri ini, Barisan Nasional (BN) Sabah memenangi tujuh kerusi. – KOSMO! ONLINE

POPULAR